PRN Melaka: KKM sudah sedia SOP

Khairy Jamaluddin pada sidang media.
Khairy Jamaluddin pada sidang media.
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah bersedia dengan prosedur operasi standard (SOP) tersendiri, jika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka terpaksa diadakan.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya sudah memberi pandangan kepada jemaah menteri (berkenaan PRN Melaka) dalam mesyuarat semalam, kini terpulang kepada keputusan kerajaan.

"KKM sudah memberi pandangan, dan kita serahkan kepada jemaah menteri untuk membuat keputusan.

"Sekiranya perlu diadakan juga PRN Melaka, KKM sudah bersedia untuk berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkenaan SOP yang perlu diadakan.

"Buat masa ini, kita tunggu keputusan jemaah menteri dahulu, sama ada PRN diteruskan atau sebaliknya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Wad Kanak-Kanak, Pelancaran Mesin MRI dan Pelancaran Pensijilan ISO 9001:2015 Hospital Perubatan Mawar, di sini pada Sabtu.

Turut serta, Pengerusi Hospital Perubatan Mawar, Datuk Lee Tian Hock.

Artikel Berkaitan:

Khairy semasa melawat wad kanak-kanak Hospital Perubatan Mawar pada Sabtu.
Khairy semasa melawat wad kanak-kanak Hospital Perubatan Mawar pada Sabtu.

Mengulas lanjut kata Ahli Parlimen Rembau itu, KKM sudah mempunyai pandangan tersendiri, dan SOP tertentu yang perlu diambil kira jika PRN Melaka perlu dilaksanakan.

Katanya, terlalu awal untuk pihaknya mengulas atau mengumumkan mengenai SOP PRN, sedangkan jemaah menteri belum lagi membuat sebarang keputusan.

Pada Selasa lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka penggal ke-14, dan PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran itu.

Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelum itu mengumumkan DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober, setelah dipersetujui Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam.

DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lepas, susulan tindakan empat ADUN iaitu Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) yang mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!