Singapura perlu teruskan strategi 'Hidup dengan Covid-19'
SINGAPURA - Perdana Menteri, Lee Hsien Loong pada Sabtu berkata, Singapura perlu meneruskan strategi 'Hidup dengan Covid-19' (Living with Covid-19).
"Kita perlu hormati Covid-19, tetapi kita tidak harus lumpuh akibat ketakutan. Mari kita lakukan aktiviti harian seperti biasa, ambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi SMM (Langkah-langkah Pengurusan Selamat),” katanya ketika berucap mengenai situasi terkini Covid-19.
Hsien Loong berkata, hakikat 'Hidup dengan Covid-19' bukanlah satu perjalanan lancar dan mudah untuk Singapura.
Beliau berkata, pada Ogos selepas mencapai 80 peratus liputan vaksinasi, republik ini telah menurunkan paras Amaran Tahap Tinggi.
"Kami sudah jangka kes akan meningkat, kerana lebih ramai rakyat meneruskan aktiviti dan berinteraksi antara satu sama lain. Tetapi jumlah kes meningkat dengan ketara berbanding apa yang kami unjurkan, kerana varian Delta yang sangat cepat merebak,” katanya.
Menurutnya, beberapa bulan akan datang akan 'menjadi tempoh percubaan' untuk republik ini kerana kes harian dijangka terus meningkat selama beberapa minggu.
“Sistem penjagaan kesihatan kita akan terus berada di bawah tekanan. Kami boleh memperlahankan tetapi kami tidak dapat menghentikan varian Delta,” katanya.
Hsien Loong berkata, pada satu tempoh lonjakan akan mendatar dan kes mula menurun.
"Kami tidak tahu dengan tepat bila, tetapi daripada pengalaman negara lain, diharapkan dalam sebulan dua," katanya.
Selepas lonjakan itu mendatar, Hsien Loong berkata, Singapura masih perlu bersedia menyaksikan lonjakan kes lagi pada masa akan datang dan mungkin terpaksa menekan ‘brek’ sekali lagi andai lonjakan itu berlaku terlalu pantas, bagi melindungi sistem penjagaan kesihatan dan petugas.
“Tapi kita akan dapat menangani lonjakan pada masa depan dengan lebih baik. Kapasiti dan proses (berkaitan) akan terus menjadi lebih baik. Ketika lebih banyak rakyat terdedah kepada virus dan pulih, tahap imuniti kita akan meningkat dan kepantasan jangkitan Covid-19 akan berkurangan dalam kalangan kita,” katanya.
Ditanya bila Singapura akan tahu keadaan normal baru sudah dicapai, Hsien Loong berkata: “Ianya adalah apabila kita dapat mengurangkan sekatan, SMM dilaksanakan dan kes terus stabil - mungkin seratus sehari, tetapi tidak melonjak.
“Apabila hospital sudah kembali seperti biasa. Bila kita dapat buat semula apa yang lazimnya kita buat sebelum ini dan sudah boleh keluar ke khalayak tanpa perlu risau atau berasa janggal,” katanya.
Setakat tengah hari 8 Oktober, Singapura melaporkan 3,590 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 120,454.
Sementara itu, pada 7 Oktober, 83 peratus penduduk Singapura sudah lengkap atau menerima dua dos vaksin Covid-19. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!