Selangor beri sumbangan khas bernilai RM720,700
BANTING - Kerajaan Selangor memberi sumbangan khas sebanyak RM720,700 kepada persatuan sukan, Majlis Sukan Daerah dan Kontinjen Sukan Malaysia (Sukma) di negeri ini bagi memulakan kembali latihan atlet selepas krisis pandemik Covid-19.
Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, penyerahan sumbangan itu juga sempena Hari Selangor Bersukan 2021 (HSSB 2021) yang akan disambut pada setiap 6 Oktober.
"Kerajaan negeri mengambil maklum pentingnya rakyat Selangor untuk kekal aktif, cergas dan mengamalkan budaya sihat selepas negara beransur pulih daripada pandemik Covid-19.
"Selaras hasrat ini, kerajaan Selangor memperkenalkan HSSB 2021 yang merupakan usaha proaktif bagi membudayakan sukan dalam kalangan rakyat," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata, pelbagai acara disusun sempena HSSB 2021 yang dianjurkan di Bukit Jugra, di sini.
Menurut beliau, antara acara yang bakal dilaksanakan ialah Fun Run sejauh tiga kilometer ke puncak Bukit Jugra, senamrobik, pertunjukan paragliding dan beberapa lagi.
"Kerajaan Selangor yakin penganjuran HSSB 2021 merupakan inisiatif terbaik dalam membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!