Khairy lakukan lawatan mengejut ke Hospital Tuanku Ja’afar

Khairy Jamaluddin. Foto Bernama
Khairy Jamaluddin. Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Sabtu membuat satu lagi lawatan mengejut di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini selepas berbuat demikian di Hospital Kajang, Selangor pada 18 September lepas.

Ahli Parlimen Rembau itu membuat lawatan berkenaan selepas beliau menghadiri satu majlis di Pusat Perubatan Mawar yang terletak berhampiran HTJ.

Difahamkan, Khairy meluangkan masa hampir satu jam di hospital berkenaan untuk bertemu dengan doktor, jururawat dan petugas kesihatan bagi mendapat gambaran sebenar keadaan di hospital terbabit tanpa iringan pihak atasan.

Tinjauan Bernama di laman Facebook mendapati gambar lawatan itu turut tular di laman sosial serta mendapat pelbagai reaksi positif warganet yang memuji Khairy kerana sanggup turun padang melihat sendiri keadaan di hospital tanpa sebarang protokol.

Pengguna Facebook, Dhirul Qidhir berkata: “Terbaik YB (Yang Berhormat). No Protocol (tiada protokol), sangat sempoi. Barulah dikatakan berjiwa rakyat.

Stone Mason pula berkata: “Bijak.. sebab datang hari Sabtu secara mengejut, ditambah pihak pengurusan tidak bekerja pada Sabtu jadi tiada yang terlindung, tiada karpet merah dan semua realiti yang dihadapi rakyat.

Saipul Bahri pula berharap Khairy kerap melakukan lawatan seumpama itu di hospital dan pusat kesihatan lain di seluruh negara. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!