Isytihar darurat, jalan terbaik tangguh PRN Melaka
ALOR SETAR - Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) mendesak kerajaan Persekutuan campur tangan dalam isu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengisytiharkan darurat di negeri itu.
Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, ini kerana mana-mana pihak tidak sewajarnya mempertaruhkan nyawa rakyat demi kepentingan politik.
Menurutnya, darurat adalah penyelesaian terbaik sehingga penularan wabak Covid-19 di Melaka lebih terkawal dan pilihan raya boleh dilaksanakan dengan selamat.
“Dengan penuh hormat dan takzimnya, Pejuang merafak sembah mohon perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk isytiharkan darurat di Melaka dan melantik Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka untuk mengetuai ‘caretaker government’ sehingga ke satu tempoh yang sesuai.
“Keselamatan dan kepentingan rakyat tidak boleh sama sekali dijadikan taruhan dalam percaturan politik dan perebutan kuasa,” katanya dalam kenyataan akhbar pada Sabtu.
Mukhriz berkata, kepentingan rakyat pada ketika melalui fasa pemulihan pandemik Covid-19 tidak seharusnya diganggu dengan mengadakan PRN.
“Kerajaan Persekutuan sepatutnya ambil perhatian serius akan kesan jika berlakunya PRN di Melaka. Walaupun bagi sesetengah pihak perubahan kerajaan negeri dan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memperoleh mandat baharu rakyat melalui PRN juga penting, namun apa yang lebih penting adalah nyawa rakyat yang mungkin terancam dengan jangkitan Covid-19 sehingga tidak terkawal seperti di PRN Sabah,” katanya.
Menurutnya lagi, satu nyawa sekalipun terlalu berharga untuk dikorbankan dalam mengatasi kemelut politik dalaman UMNO yang mencetuskan kucar-kacir di Melaka kini.
“Rata-rata rakyat di Melaka menolak PRN di saat mereka baru saja cuba bangkit daripada pelbagai sekatan akibat pandemik Covid-19.
“Mereka baru hendak bina semula kehidupan, mencari rezeki untuk kelangsungan hidup, jangan nanti mereka seolah dipaksa dan terpaksa mengundi, lebih buruk lagi jika mereka memboikot PRN tersebut,” katanya.
Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kerajaan dijangka mengumumkan keputusan sama ada meneruskan PRN Melaka atau menasihati Pemangku Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk mengisytiharkan darurat, pada minggu depan.
Cadangan pengisytiharan darurat itu adalah bagi menghalang diadakan PRN Melaka berikutan kebimbangan penularan pandemik Covid-19 di negeri itu dan seluruh negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!