PM sempat luang masa teman 'rakyat cilik' makan nasi lemak

 Ismail Sabri berkongsikan video ringkas beliau berbual dengan dua anak kecil yang sedang sarapan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R), Lebuhraya Kajang - Seremban (Lekas).
Ismail Sabri berkongsikan video ringkas beliau berbual dengan dua anak kecil yang sedang sarapan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R), Lebuhraya Kajang - Seremban (Lekas).
A
A
A

KUALA LUMPUR- Rutin harian sebagai Perdana Menteri sudah semestinya sibuk sejak dari awal membuka mata sehinggalah malam.

Begitupun, dalam kesibukan memenuhi jadual ditetapkan, ia tidak menghalang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk meluangkan masa, berborak seketika dengan rakyat.

Terbaharu, menerusi Instagram rasmi beliau, Ismail Sabri berkongsikan video ringkas beliau berbual dengan dua anak kecil yang sedang sarapan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R), Lebuhraya Kajang - Seremban (Lekas).

“Ternampak dua anak kecil ini sedang makan nasi lemak bersama bapa mereka di R&R Lekas.

“Teruja melihat telatah mereka yang comel dan petah berkata-kata,” tulis beliau dalam status tersebut yang setakat artikel ini ditulis, ia ditonton lebih 40,000 pengguna.

Masih lagi mengenakan baju Hari Sukan Negara (HSN) 2021, Ahli Parlimen Bera itu difahamkan baru sahaja selesai melancarkan HSN2021 sebelum ternampak keletah anak kecil yang menarik perhatiannya itu.

Dalam video berdurasi 53 saat itu, beliau bertanya keluarga tersebut datang dari mana malah sempat duduk sebentar di sebelah dua kanak-kanak bertuah itu.

Mengikut kata bapanya, anak kecil itu seorang berusia enam tahun dan seorang lagi dua tahun, singgah sebentar untuk makan nasi lemak di situ.

Artikel Berkaitan:

“Makan apa?” soal Ismail Sabri kepada salah seorang kanak-kanak itu.

“Nasi lemak,” jawab kanak-kanak itu pantas.

“Nak bergambar dengan PM?,” bapanya pula bertanya kepada anaknya itu.

“Nak,” jawabnya pantas sebelum pegawai Perdana Menteri merakamkan detik berharga buat tatapan keluarga itu kelak.

Kanak-kanak itu pada waktu ini mungkin tidak begitu mengerti apa yang berlaku namun satu masa nanti, pastinya ia akan menjadi kenangan yang tidak dilupakan buat mereka. -Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!