Lelaki murung ditemui meninggal dunia

Pasukan penyelamat membawa mangsa ke tebing untuk diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut. Foto: ihsan bomba
Pasukan penyelamat membawa mangsa ke tebing untuk diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut. Foto: ihsan bomba
A
A
A

TELUK INTAN - Seorang lelaki dipercayai mengalami kemurungan yang hilang di sebuah ladang kelapa sawit di Alor Bakong, Langkap di sini pada Selasa lalu ditemui maut pada Sabtu.

Mayat lelaki berusia 36 tahun itu ditemui pasukan penyelamat berhampiran sebatang pokok di Sungai Chikus, Ladang Selinsing Changkat Petai di sini kira-kira jam 2.30 petang.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mayat mangsa ditemui oleh pasukan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Mayat ditemui kira-kira empat kilometer dari lokasi akhir motosikal mangsa dijumpai dan mangsa dipercayai telah meninggal dunia sejak tiga hari lalu.

"Pengecaman dilakukan oleh keluarga mangsa dan mayat kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat," katanya di sini.

Menurutnya, siasatan semula dilakukan di bawah kes mati mengejut sehingga menerima laporan bedah siasat bagi mengesan punca kematian.

Katanya, SAR yang berlangsung selama empat hari itu membabitkan 96 pegawai dan anggota dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3, Bidor; polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Unit Anjing Pengesan (K9).

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!