Polis siasat pengguna Twitter dakwa 41 guru maut akibat vaksin
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap laporan polis yang dibuat oleh Kementeran Kesihatan Malaysia berhubung ciapan pemilik akaun Twitter Khalid@Khalids berkaitan kenyataan tidak benar mengenai senarai 41 kematian guru disebabkan vaksin Covid-19.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, ciapan yang dimuat naik pada Jumaat mempunyai 52 'retweets', 1,168 ' qoute tweets' dan 70 'likes' itu mengundang pelbagai reaksi dan maklum balas warganet.
"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana dengan niat hendak mengapikan atau yang mungkin mengapikan mana-mana golongan atau melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain.
"Kes juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penyalahgunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian," katanya melalui kenyataan pada Sabtu.
Abd Jalil berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya cakna dan peka terhadap pihak-pihak yang cuba mengganggu kelancaran program vaksinasi Covid-19 yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan.
"Orang ramai juga digesa untuk menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform terbabit untukmenyebarkan sebarang maklumat yang tidak dipastikan sumber kesahihannya sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara.
"Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam," katanya.
Pada Jumaat, media melaporkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar telah mengarahkan satu laporan polis dibuat terhadap pengguna Twitter yang didakwa menyebarkan berita palsu berkaitan vaksinasi.
Menerusi ciapannya pada Jumaat, Khairy berkata, selain pihak polis, laporan juga perlu dibuat pada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) terhadap pengguna Twitter berkenaan yang menggunakan nama 'Khalids'.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!