Pasar Kemboja tarikan baharu di Yan
Pengurus Pasar Kemboja Yan (PKY), Muhamad Ridzuan Aziz berkata, ini adalah kali pertama pihaknya masuk ke daerah Yan bagi melaksanakan jualan seperti ini.
Katanya, meskipun diberi nama Pasar Kemboja, namun peniaga yang terlibat kesemuanya merupakan warganegara Malaysia.
"Kita nak bantu usahawan agar diberi peluang berniaga di lokasi yang strategik agar boleh menjana pendapatan lumayan," katanya.
Ridzuan berkata, kebanyakan peniaga terdiri daripada penduduk setempat dan terdapat juga yang datang dari luar daerah.
"Ada yang datang dari Perak, Kuala Lumpur dan juga Selangor," katanya ketika ditemui di tapak PKY di hadapan Taman Muafakat Dulang, semalam.
Menurut Ridzuan, untuk hari pertama seramai 100 peniaga telah terlibat dan hampir 3,000 pengunjung datang ke PKY.
"Kita juga turut menjemput artis dan kumpulan nasyid untuk membuat persembahan bagi menarik perhatian.
"Selain itu, acara cabutan bertuah juga turut diadakan pada setiap hujung bulan dan hadiah yang ditawarkan ialah barangan elektrik," katanya.
Ridzuan berkata, sewa tapak yang hanya RM20 bagi seorang peniaga membolehkan mereka menjual dengan harga yang jauh lebih murah.
Peniaga pakaian, Ida Akmar Alias, 43, berkata dia sudah berkampung di Kedah sejak tiga hari lalu.
"Seronok meniaga di sini sebab ramai pelanggan dan berbaloilah dengan penat lelah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!