Jimah East Power unggul di ASEAN Energy Awards 2021
SHAH ALAM - Stesen janakuasa milik Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jimah East Power (JEP) memenangi tempat pertama kategori Clean Coal Technology Utilisation for Large Power Generation dalam ASEAN Energy Award 2021.
Anugerah itu menobatkan amalan terbaik penggunaan arang batu yang lebih bersih dan lestari dalam usaha peralihan ke arah pembangunan dengan pelepasan karbon yang mampan dan rendah.
JEP berjaya mengatasi saingan daripada PT Indonesia Power PLTU Jateng 2 Adipala Omu, Indonesia di tempat kedua, manakala Mae Moh Power Plant, Thailand di tempat ketiga.
Pengarah Urusan TNB Power Generation (TNB Genco), Datuk Nor Azman Mufti berkata, anugerah tersebut merupakan manifestasi sokongan kepada kerajaan dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon dan menghindari risiko ekonomi jangka panjang.
“Mungkin kita akan pelbagaikan pembakaran di JEP menggunakan kaedah selain arang batu untuk mengurangkan paras pencemaran dalam usaha menyokong Environmental, Social and Governance (ESG) yang merupakan sebahagian daripada inisiatif JEP dan TNB Genco.
“Ia selaras dengan aspirasi sifar bersih TNB menjelang 2050 yang dipacu menerusi komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan sebanyak 35 peratus serta pengurangan 50 peratus kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Majlis tersebut berlangsung secara maya bersempena ASEAN Energy Business Forum dan Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) Ke-39 yang berlangsung pada 14 hingga 16 September 2021 di Brunei.
ASEAN Energy Award adalah majlis anugerah tertinggi di Asia Tenggara yang mendorong dan mengiktiraf penyertaan semua pihak dalam pembangunan tenaga di rantau ASEAN.
Ia merangkumi tiga kategori iaitu Anugerah Arang Batu ASEAN, Anugerah Amalan Terbaik Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga ASEAN serta Anugerah Projek Tenaga Boleh Baharu ASEAN.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!