Pulau Batu Puteh: Johor mahu tindakan undang-undang segera

Pulau Batu Puteh
Pulau Batu Puteh
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri amat mengalu-alukan dan menyambut baik keputusan kerajaan Persekutuan menubuhkan tiga jawatankuasa bagi menyemak semula undang-undang berkenaan kes Pulau Batu Puteh atau Pedra Branca.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, isu tuntutan Pulau Batu Putih antara Malaysia dan Singapura sememangnya amat dekat dengan kerajaan dan rakyat di negeri ini, sama ada dari segi sejarah mahupun kedudukannya kerana hampir dengan Johor.

"Kerajaan negeri memberi jaminan akan memberikan kerjasama dan membantu Kerajaan Persekutuan dalam usaha mendapatkan pelbagai dokumen dan pandangan yang diperlukan.

"Dalam pada itu, kerajaan negeri juga bersetuju memberikan sokongan penuh tentang tindakan undang-undang di bawah 'tort of misfeasance' ke atas mana-mana pihak yang didapati telah melakukan kecuaian dan kekhilafan kerana tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Menurut Hasni, kerajaan negeri juga mahu supaya perkara itu disegerakan agar mereka yang bertanggungjawab dibawa pada kadar segera ke muka pengadilan.

"Berdasarkan dapatan daripada hasil siasatan itu kelak, kerajaan negeri juga bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang bertanggungjawab.

"Kerajaan negeri amat berharap jawatankuasa khas yang ditubuhkan ini dapat melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin dan mendoakan semoga usaha tersebut dipermudahkan serta memperoleh kejayaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!