14 ditahan memandu dalam keadaan mabuk
KUALA LUMPUR - Seramai 14 individu diberkas atas pelbagai kesalahan trafik dan 17 motosikal disita dalam Ops Samseng Jalanan dan Ops Motosikal di beberapa lokasi utama sekitar ibu kota bermula pada Jumaat sehingga awal pagi Ahad.
Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, operasi dijalankan Unit Penguatkuasaan dan Unit Risikan/ Operasi JSPT KL dengan kekuatan sembilan pegawai dan 65 anggota polis.
Menurutnya, operasi bermula dari jam 9 malam dan selesai lebih kurang jam 4 pagi, di sekitar pusat bandar, Jalan Sultan Azlan Shah (hala Sentul dan Chow Kit ), Jalan Pahang, Jalan Kuching, Jalan Parlimen dan Lebuh Raya NPE.
"Dalam operasi berkenaan, 14 orang lelaki berumur dalam lingkungan 25 hingga 65 tahun ditahan di bawah Sek 45(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.
"Kesemua individu ditahan dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Katanya, bagi Operasi Samseng Jalanan, yang diadakan di Lebuh Raya NPE dan di Jalan Parlimen, seramai lima lelaki ditahan kerana menunggang dalam keadaan merbahaya dan melakukan aksi zig-zag, roket, superman serta bersaing.
"Kesemua suspek ditahan berumur dalam lingkungan antara 18 hingga
25 tahun telah dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur dan akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain," katanya.
Beliau memberitahu, secara keseluruhan sebanyak 333 jumlah saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
"Selain itu, 17 buah motosikal turut disita di bawah Seksyen 64 APJ 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos).
"Motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan dilakukan pihak JPJ serta diarahkan mengubah kenderaan ke struktur asal," katanya.
Menurut beliau, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan operasi pada hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya.
"Semua pengguna dinasihatkan agar mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun mempunyai maklumat boleh menghubungi JSPT, Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-2026 0267/69 atau mana- mana balai polis berhampiran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!