11 samseng jalanan dicekup ketika 'beraksi'
IPOH - Tindakan sekumpulan samseng jalanan mempamerkan kehebatan dengan menunggang secara berbahaya membawa padah apabila 11 lelaki dicekup pihak polis dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan sekitar Ipoh di sini pada Ahad.
Operasi yang bermula pada jam 10.30 malam hingga 5 pagi itu dijalankan di lima lokasi iaitu di Pengkalan-Station 18, Meru Raya, Jalan Jelapang-Silibin, Tambun dan Jalan Gopeng-Batu Gajah.
Selain itu, lima individu turut bertindak nekad dengan menghumban motosikal mereka ke dalam longkang bagi mengelak ditahan polis.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Deputi Superintendan Roslan Mohamed@Ab. Aziz berkata, seramai 11 penunggang motosikal berusia antara 16 hingga 41 tahun itu ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurut beliau, pihaknya akan mengesan pemilik yang meninggalkan motosikal mereka menerusi nombor pendaftaran kenderaan untuk siasatan lanjut.
"Dalam operasi tersebut, kita telah memeriksa 107 kenderaan dan 215 individu dengan pelbagai kesalahan trafik terutama membabitkan motosikal.
"Sebanyak 56 saman dikeluarkan kerana didapati tidak mempunyai lesen, ubah suai ekzos dan kenderaan, nombor plat yang tidak mematuhi spesifikasi, tiada insurans dan cermin sisi," katanya ketika ditemui di sini pada Ahad.
Roslan berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut mengeluarkan 43 saman dan notis arah periksa kenderaan yang didapati telah diubah suai.
Katanya, saringan air kencing yang dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) terhadap 21 individu mendapati tiga lelaki berusia antara 25 hingga 30 tahun positif dadah jenis methamphetamine.
"Siasatan ke atas ketiga-tiga individu itu dijalankan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 manakala seorang individu ditahan di bawah Seksyen 6(2)(b) akta sama kerana langgar syarat pengawasan.
"Risikan mendapati lokasi yang dijalankan itu sering menjadi tumpuan bagi kegiatan samseng jalanan hingga membahayakan nyawa diri sendiri dan pengguna jalan raya lain," katanya.
Tambah beliau, operasi itu disertai 10 pegawai dan 68 anggota melibatkan JSPT Perak, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Perak, BSPT IPD Ipoh, JPJ dan AADK Perak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!