Kesahihan audio tular perlu dibuktikan sebelum sebarang tindakan
KOTA BHARU - Kesahihan rakaman audio yang didakwa mirip seorang pemimpin Pas mempertikai kepimpinan Presidennya Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu dibuktikan sebelum sebarang tindakan diambil.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu juga terbuka sekiranya polis akan melakukan siasatan sekiranya menerima laporan.
“Saya sebagai orang undang-undang, tak buat apa-apa komen berdasarkan andaian, andaian perlu dibuktikan dahulu.
“Kalau ada laporan polis, biar polis siasat. Kita ikut undang-undang, kita tak nak main andaian ini,” kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu kepada pemberita di sini hari ini.
Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penularan rakaman audio tersebut sejak Sabtu di media sosial. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!