'PH harus tanggungjawab kehilangan Pulau Batu Puteh'
JOHOR BAHRU - Penubuhan pasukan khas kes Pulau Batu Puteh diharapkan dapat menjelaskan dan mendedahkan perkara sebenar yang menjadi punca kerajaan Pakatan Harapan (PH) menarik balik semakan ke atas penghakiman kes berkenaan di Mahkamah Antarabangsa (ICJ).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, rakyat perlu diberitahu sama ada tindakan tersebut akibat kecuaian dan membelakangkan kepentingan nasional.
Menurut bekas Menteri Besar Johor itu, pihak yang harus bertanggungjawab dalam kegagalan meneruskan semakan keputusan tersebut perlu dikenal pasti.
"Setelah Tun Dr Mahathir Mohammad diangkat menjadi Perdana Menteri ketujuh, kerajaan PH telah memutus untuk tidak meneruskan semakan keputusan kes tersebut. Malaysia kehilangan milikan Pulau Batu Puteh untuk selama-lamanya.
"Kenapa kerajaan PH memutuskan untuk tidak meneruskan prosiding semakan di ICJ tidak pernah dijelaskan. Keputusan penting itu sewajarnya diterangkan di Parlimen secara telus dan bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Pada Sabtu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jemaah menteri bersetuju pasukan petugas khas diwujudkan bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan pilihan yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.
Beliau dilaporkan berkata, usaha tersebut bertujuan untuk menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran berkenaan kes Pulau Batu Puteh.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, tindakan kerajaan PH adalah satu perkara yang seharusnya dipertanggungjawabkan.
"Tindakan mereka adalah ‘the neglect of duty of the highest order’. Mereka harus dipertanggungjawabkan jika didapati mereka cuai, culas dan membelakangkan kepentingan nasional.
"Bangsa lain bermati-matian mempertahankan walau seinci tanah air mereka sebaliknya kerajaan PH melepaskan segala usaha untuk mempertahankan kedaulatan Pulau Batu Puteh tanpa sebarang skrutini dan pertanggungjawaban," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!