Dinamika politik Melayu-Islam

A
A
A

POLITIK Islam di Malaysia sering kali dikaitkan dengan penggunaannya dalam memancing legitimasi politik. Ia timbul apabila Islam menjadi alat dan matlamat perjuangan politik parti-parti Melayu yang bertanding merebut kuasa.

Jika diteliti, isu utama ialah apakah Islam itu menjadi bahan ataupun lambang dalam perjuangan sesuatu parti politik. Justeru itulah ia perlu distrukturkan semula dalam konteks ‘politik Islam’ ataupun ‘Islam dalam berpolitik’. Eickelman dan Piscatori (2004) mentakrifkan politik ‘Orang Islam’ (baca: Politik Islam) sebagai persaingan ke atas interpretasi simbol untuk mengawal institusi-institusi yang mencipta dan mendukungnya. Barangkali ini boleh digambarkan menerusi persaingan antara UMNO dan Pas satu ketika dahulu yang masing-masing mengaku memperjuangkan Islam mengikut cara tersendiri.

Dalam persaingan itu Pas menuntut kepada penubuhan sebuah negara Islam di mana nilai, prinsip sosial dan pemerintahannya berlandaskan syariah Islam. Manakala bagi UMNO pula, parti itu cenderung kepada percampuran pragmatis yang mengadun Islam dengan elemen pembangunan, nasionalisme Melayu dan liberalisme terkawal.

Walaupun dilihat longgar, sekurang-kurangnya ia mampu mencabar model politik Islamis-fundamentalis yang ditawarkan Pas. Justeru, apabila pendekatan ‘Islam progresif’ yang dibawa UMNO menerusi program-program dan gagasan Islamisasinya berjaya mengekang kemaraan politik Pas, ia adalah suatu yang sudah dijangkakan.

Ini kerana keseimbangan daripada tuntutan spiritual dan kehendak material menerusi pendekatan yang sederhana (moderate) dan meningkat (incremental) diterima baik oleh orang Islam malah bukan Islam. Dalam hal ini, Islamisasi UMNO berjaya diekspresikan dalam bentuk yang paling bersungguh dan moderat, sejajar dengan sosiopolitik masyarakat majmuk di Malaysia yang sensitif terhadap elemen agama tetapi mendambakan pembangunan.

Identifikasi kaum bersandarkan kepada agama telah menjadikan apa-apa yang dikaitkan dengan agama harus ditangani dengan bijak. Ini kerana dalam konteks masyarakat majmuk, isu-isu agama selalunya disifatkan dengan sesuatu yang rapuh dan taksa.

Sebagai contoh, kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan itu sendiri yang terbuka kepada pentafsiran telah mencipta kerapuhan dan ketaksaan yang dimaksudkan. Ini adalah kerana, apa pun yang telah dijamin Perlembagaan berkenaan Islam, ia harus tidak bertentangan dengan peruntukan ‘kebebasan beragama’ yang juga termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Untuk memahami perkara ini, pemerhati harus keluar dari kerangka tradisional yang melihat agama sebagai statik dan bersifat spiritual. Dalam konteks Islam, dinamika politik Melayu-Islam selalunya akan memberi kesan secara langsung ataupun tidak langsung ke atas kedudukan dan peranan kaum yang lain.

Artikel Berkaitan:

Justeru, sekiranya ini berlaku, dibimbangi nanti akan timbul keraguan berterusan ke atas Islam di Malaysia akibat daripada pertembungan Islamisasi dalam politik orang Melayu. Harus diingat bahawa dalam persaingan politik ini, persoalan siapa “lebih Islam” atau “lebih Melayu” perlu diletakkan ke tepi. Ini kerana, agenda mengupayakan orang Melayu itu masih jauh daripada yang disasarkan.

Ini juga secara tidak langsung tiada memberi nilai tambah kepada Islam dan proses Islamisasi. Inilah cabaran sebenar yang dihadapi oleh parti-parti Melayu-Islam. Gelombang pendemokrasian Malaysia Baharu seolah-olah membawa kebangkitan kesedaran tingkat baharu yang bertumpu ke arah persoalan keadilan sosial, ketelusan, integriti, kesamarataan dan kebebasan politik.

Kesemua tuntutan baharu yang dibawa arus pendemokrasian itu sebenarnya tidak asing bagi Islam. Ini adalah kerana tuntutan-tuntutan itu sudah lama dianjurkan oleh Islam. Malah ini sebenarnya adalah peluang kepada mana-mana parti politik Melayu-Islam untuk mempertingkatkan usaha-usaha Islamisasi yang sedia ada dan dalam masa sama, melonjakkan lagi faktor ‘kebolehjualan’ parti kepada bukan sahaja orang Islam tetapi orang bukan Islam.

Harus diingat, dalam konteks pendefinisian ‘Melayu-Islam’ menurut legal-budaya dan politik berbilang kaum di Malaysia, ia tidak boleh dibaca sebagai sesuatu yang bersifat ‘officialising plurality’ ataupun ‘accomodating difference’.

Ini kerana dalam keterbukaan demokrasi dan kemunculan tuntutan politik baharu, isu perkauman akan sentiasa dijadikan senjata sulit oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Atas kebimbangan itu, dalam meraikan Malaysia Baharu ini, elemen pengawalan perlu ada pada tahap yang dibolehkan sejajar untuk membolehkan demokrasi berjalan tanpa gangguan.

* Penulis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!