81 peratus remaja Johor terima dos pertama vaksin
JOHOR BAHRU - Sebanyak 81 peratus golongan remaja di Johor sudah menerima dos pertama suntikan vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.
Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, Mazlan Bujang berkata, setakat ini, sebanyak lima peratus golongan remaja sudah lengkap suntikan vaksin dos kedua.
"Pemberian vaksinasi menerusi PICK Remaja di negeri ini melibatkan seramai 305,000 remaja berusia 12 hingga 17 tahun.
“Bagi peringkat negeri Johor, kita berada pada tahap yang baik daripada segi pemberian vaksin kerana sebelum ini pemberian vaksin di daerah Johor Bahru agak perlahan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki di sini pada Ahad.
PICK Remaja di negeri ini dilaksanakan di 173 pusat pemberian vaksin (PPV) dan dijangka berlangsung sehingga akhir November untuk dos pertama manakala Disember bagi dos kedua.
Sementara itu, Mazlan berkata, seramai 4,209 pelajar Tingkatan Enam semester dua di negeri ini kembali menyambung sesi pembelajaran mereka secara bersemuka pada Ahad.
Menurutnya, sebagai langkah persediaan, setiap sekolah dibekalkan kit ujian pantas RTK Antigen bagi melakukan ujian calitan terhadap pelajar yang tidak sihat.
Beliau berkata, pelajar perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sama seperti sebelum ini dengan mengambil suhu badan, sentiasa memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!