Siasat dakwaan ADUN Warisan ditawar RM1 juta

Fadli (kiri) menunjukkan laporan dibuat di Balai polis Putatan, Putatan pada Ahad.
Fadli (kiri) menunjukkan laporan dibuat di Balai polis Putatan, Putatan pada Ahad.
A
A
A
PUTATAN - Gerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia menggesa polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa terdapat tawaran RM1 juta dan jawatan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang keluar daripada parti berkenaan.

Presidennya, Datuk Fadli Fathullah berkata, laporan polis telah dibuat bagi mewakili kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkaitan kenyataan Mohd Shafie melalui sidang akhbarnya.

Menurutnya, laporan polis itu dibuat supaya pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan.

"Selaku Presiden Gerakan NGO Malaysia, kita memohon siasatan lanjut dilakukan terhadap Mohd Shafie berhubung kenyataan bahawa pihak beliau menerima panggilan oleh beberapa individu daripada GRS menawarkan wang RM1 juta dan jawatan sekiranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang bersetuju menyertai kerajaan GRS.

"Gerakan NGO menafikan sekeras-kerasnya kenyataan dan tuduhan ini. Kami minta pihak berwajib seperti SPRM melakukan siasatan dengan lebih telus untuk menghadapi situasi pergolakan politik ketika ini," katanya kepada Sinar Harian selepas membuat laporan di Balai Polis Putatan di sini pada Ahad.

Beliau berkata, tuduhan Mohd Shafie itu akan menggugat kedudukan dan mengganggu urusan kerajaan selain mencemari kedudukan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta imej kerajaan GRS.

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu bekerjasama dengan mana-mana pihak jika terdapat unsur pembabitan rasuah sama ada daripada pihak pembangkang atau GRS.

Pada Sabtu, Mohd Shafie dalam sidang akhbarnya mendakwa beberapa ADUN Warisan turut dipengaruhi untuk keluar daripada parti dan ditawarkan wang RM1 juta sekiranya menyertai GRS.

Dakwaan itu didedahkan selepas ADUN Sindumin, Datuk Sr Yusof Yacob mengumumkan keluar daripada Warisan pada Jumaat.
Artikel Berkaitan:


Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!