Pilihan raya umum Iraq bermula
BAGHDAD - Pusat pengundian bagi pilihan raya umum Iraq mula dibuka pada Ahad dengan langkah keselamatan yang ketat, lapor Agensi Anadolu.
Pengundi perlu menjalani pemeriksaan dan tidak dibenarkan membawa telefon bimbit masuk ke dalam pusat mengundi.
Perdana Menteri, Mustafa al-Kadhimi dilaporkan mengundi di pusat mengundi di Zon Hijau.
"Saya mahu menjadi pengundi pertama yang mengundi," katanya sambil menyeru pengundi berdaftar turut menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Pusat pengundian akan ditutup 6 petang dan Suruhanjaya Pilihan Raya Iraq dijangka mengumumkan keputusan dalam tempoh 24 jam.
Pilihan raya kali ini menyaksikan 3,249 calon bertanding untuk merebut di 329 kerusi parlimen dan membabitkan 877 pemerhati asing.
Menurut Suruhanjaya pilihan raya daripada 40 juta penduduk Iraq seramai 24 juta layak mengundi.
Pilihan raya itu adalah yang kelima diadakan di Iraq sejak bekas Presiden Saddam Hussein digulingkan pada 2003. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!