Rentas negeri: Kini semua terletak pada anda, rakyat Malaysia
KUALA LUMPUR - Tanggungjawab kini terletak pada anda, rakyat Malaysia!
Demikian kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, mengulas kebenaran rentas negeri diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad.
Menurut Khairy, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah melakukan pelbagai persediaan sekiranya berlaku peningkatan kes yang mendadak.
Begitupun, tegasnya, beliau berharap rakyat Malaysia memastikan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) supaya kenaikan kes tidak lagi berlaku.
“Kita minta kepada rakyat Malaysia, tanggungjawab kini adalah atas anda. Jika anda benar-benar hargai apa yang petugas barisan hadapan lakukan sejak lebih setahun lepas, anda perlu memberikan sokongan kuat kepada mereka.
“Anda akan pastikan kawalan kendiri, anda akan pastikan sentiasa memantau status kesihatan anda supaya kenaikan kes tidak lagi berlaku.
“Senang untuk katakan terima kasih barisan hadapan tapi kalau anda tidak patuh SOP dan melakukan perkara yang risikonya tinggi, ungkapan terima kasih anda hanya ungkapan semata-mata. Sekarang ia terpulang kepada anda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Doktor Malaysia anjuran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) pada Ahad.
Begitupun, Khairy mengakui dengan pengumuman terbaharu itu, timbul rasa bimbang terutamanya jika muncul gelombang baharu Covid-19 di Malaysia.
“Saya ingin tekankan bahawa walaupun rentas negeri dibenarkan, kita harus sentiasa mematuhi kepada semua langkah-langkah kesihatan awam.
“Bahkan kita perlu terus amalkan SOP dengan lebih ketat, dengan lebih meluas juga dan kita harus pastikan kita mengingatkan orang lain juga untuk mematuhi SOP,” ujarnya.
Tambahnya, pengumuman Perdana Menteri adalah satu bentuk penghargaan kepada barisan hadapan selain diumumkan pada hari tepat, sama hari dengan sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia dan Hari Doktor Malaysia. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!