Dua beranak komersialkan produk ibu berpantang
MENCEBURI perniagaan dengan produk yang disifatkan lain daripada yang lain pada mulanya mengundang kebimbangan dua beranak.
Bagaimanapun, setelah mendapat sambutan luar biasa, ia menjadi pencetus untuk mereka bergerak lebih yakin sebagai usahawan.
Fatin Azzahra Abd Rashid, 33, bersama ibunya, Khizam Abdullah, 68, mengusahakan produk makanan untuk ibu berpantang memandangkan kedua-duanya amat meminati dunia masakan dan bergabung idea mengeluarkan produk Tokmami yang sudah lebih dua tahun berada di pasaran.
Lebih mesra dengan panggilan Fatin, katanya, minat memasak diwarisi daripada ibunya yang sebelum ini merupakan seorang tukang masak di kantin sekolah.
“Pada akhir 2017, kontrak tender kantin sekolah telah tamat dan ketika itu saya agak buntu kerana tiada pekerjaan lain selain duit simpanan semakin berkurangan. Saya dan ibu bersetuju untuk memulakan perniagaan yang ada kaitan dengan masakan,” katanya memulakan bicara.
Menurutnya, serunding halia kegemaran ibunya menjadi produk pertama yang cuba dikomersialkan dalam kalangan rakan dan jiran terdekat untuk melihat potensi produk.
“Keenakan serunding halia ini bukan sahaja lain daripada yang lain, malah pada masa sama berfungsi untuk mengeluarkan angin dalam badan.
“Saya terfikir mungkin ia sesuai juga untuk kegunaan sendiri dan cuba jual secara kecil-kecilan sahaja, lama-kelamaan permintaan semakin meningkat dan terus kami komersialkan,” katanya.
Dengan mempertaruhkan jenama Tokmami, bermula pada 2018 Fatin mula menimba ilmu perniagaan bagi memahirkan diri menerusi bantuan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda).
“Saya mengikuti kursus, latihan dan bimbingan seperti pemasaran, pembungkusan, pengiklanan, peningkatan kapasiti produk serta terbaru kursus penjenamaan.
“Selepas itu, kami mengorak langkah dan lebih yakin dengan penjenamaan semula jenama Tokmami kepada thethe. Ini kerana perubahan sasaran pasaran adalah lebih kepada kelengkapan dan makanan ibu berpantang,” katanya lagi.
Diuji dengan pandemik
Berbekalkan wang simpanan RM700, Fatin memulakan perniagaan secara komersial dan kini mampu meraih RM20,000 dalam sebulan.
Jualan bagi ketiga-tiga produknya, iaitu serunding halia, crispy garlic chips dan sambal kering ikan bilis begitu laris dan mendapat sambutan ramai. Namun langit tidak selalunya cerah, Fatin diuji dengan cabaran baharu apabila sektor ekonomi terkesan dengan Covid-19.
“Pada awal 2020, saya diuji dengan pandemik sehingga terpaksa tutup kilang dan hentikan pemprosesan serunding halia kerana kekurangan tenaga pekerja selain patuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Saya ubah cara pemikiran dan segera sewa sebuah kedai kecil untuk memproses produk. Alhamdulillah, tahun ini, saya dapat mengeluarkan 2,000 balang sebulan dan meraih keuntungan sekitar RM30,000,” katanya.
Pemilik syarikat Anggerik Legacy Enterprise (Thethe hq) itu berharap dapat mengeluarkan lebih banyak produk untuk ibu berpantang selepas bersalin.
“Saya berharap produk thethe ini mendapat sambutan baik sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!