Pakar saran orang ramai buat ujian kendiri Covid-19

Kit ujian kendiri Covid-19 - Foto Bernama (Gambar kecil dari kiri, Dr Marzuki, Dr Mohd Dzulkhairi)
Kit ujian kendiri Covid-19 - Foto Bernama (Gambar kecil dari kiri, Dr Marzuki, Dr Mohd Dzulkhairi)
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar kesihatan menegaskan perkara utama yang orang ramai perlu beri perhatian ialah melakukan prosedur operasi standard (SOP) kendiri sempena perjalanan rentas negeri yang mula dibenarkan pada Isnin.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Marzuki Isahak berkata, masyarakat juga disarankan membeli serta menggunakan kit ujian kendiri Covid-19 yang dijual di pasaran untuk tujuan diagnosis.

Beliau berkata, langkah berkenaan amat penting kerana orang ramai perlu mempunyai kesedaran untuk memantau serta memastikan diri bebas daripada wabak Covid-19.

“Perkara utama adalah SOP kendiri. Kit ujian Rapid Test Kit-Antigen (RTK-Ag) boleh diperoleh dan dibuat dengan mudah.

“Jadi setiap orang perlu ikut SOP dan lakukan ujian RTK sekiranya bergejala,” katanya kepada Sinar Harian.Pada Ahad, kerajaan bersetuju memberi kebenaran kepada rakyat Malaysia yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia bermula hari ini.

Orang ramai mendapatkan tiket bas susulan kerajaan mengumumkan kebenaran rentas negeri bermula hari ini ketika tinjauan di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu pada Ahad.
Orang ramai mendapatkan tiket bas susulan kerajaan mengumumkan kebenaran rentas negeri bermula hari ini ketika tinjauan di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu pada Ahad.

Dalam pada itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani turut mempunyai pandangan yang sama iaitu menggalakkan masyarakat melakukan ujian kendiri sebelum melakukan perjalanan.

“Orang ramai digalakkan buat ujian kendiri RTK sebelum memulakan perjalanan. Jangan lakukan perjalanan jika anda tidak sihat,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau berkata, masyarakat wajar mengelak daripada melakukan aktiviti atau perjalanan secara serentak.

“Kita lihat seperti musim perayaan, pulang ke kampung serentak boleh menyebabkan kesesakan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R), kedai makan dan tandas. Jadi perkara ini harus dielakkan

“Jangan berkumpul dahulu dengan keluarga besar. Ambil giliran untuk balik kampung,” jelas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!