Gajah Borneo Pygmy betina ditemui mati
KINABATANGAN - Seekor gajah Borneo Pygmy ditemui mati di kawasan Sanktuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan, berhampiran Sungai Resang Sukau pada Sabtu lalu.
Gajah betina berusia 25 tahun itu ditemui oleh pihak penyelidik hidupan liar pada jam 8.30 pagi sebelum satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada hari yang sama iaitu pada jam 7.11 malam.
Katanya, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kinabatangan bersama Jabatan Hidupan Liar (JHL) Kinabatangan, Unit Veterinar Sepilok dan Unit Penyelamat Hidupan Liar Kinabatangan ke lokasi kejadian.
"Lokasi terletak kira-kira 66 kilometer dari Pekan Kinabatangan dan sebaik tiba, siasatan mendapati bangkai terbabit adalah gajah jenis Borneo Pygmy betina berusia lingkungan 25 tahun.
"Pemeriksaan fizikal mendapati tiada organ-organ gajah yang hilang dan gajah tersebut dipercayai telah mati dalam tempoh tiga hingga empat hari dari tarikh ditemui," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Katanya lagi, hasil bedah siasat yang dijalankan, kematian haiwan itu berpunca daripada keradangan teruk pada bahagian organ dalaman.
"Kematian gajah ini berpunca daripada keradangan teruk pada beberapa organ dalaman seperti usus dan perut sehingga organ-organ tersebut gagal berfungsi.
"Setakat ini kes disiasat di bawah Seksyen 25(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!