Verstappen kuatkan semangat akhiri musim 2021
PELUMBA Red Bull, Max Verstappen gembira apabila kembali menerajui siri Kejuaraan Formula Satu (F1) biarpun menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Turki pada kedudukan kedua, Ahad lalu.
Menurut pelumba Belanda berusia 24 tahun itu, kejayaan berkenaan semakin menguatkan semangatnya bagi terus memberikan aksi terbaik pada baki enam perlumbaan Formula 1 musim ini.
“Kita perlu teruskan langkah baik ini. Lagi pun kelebihan enam mata yang dimiliki ketika ini tidak memberikan apa-apa makna.
“Oleh itu, diharapkan kita terus mengekalkan rentak kemenangan ini walaupun tahu perlumbaan ini semakin menjadi sukar dan mencabar hingga ke penghujungnya nanti.
“Paling utama adalah untuk bersaing dan seterusnya menyekat pencabar terdekat, pelumba Mercedes, Lewis Hamilton pada baki saingan nanti,” katanya.
Perlumbaan di Litar Istanbul Park itu menyaksikan pelumba Mercedes, Valtteri Bottas muncul juara buat kali pertama musim ini dengan catatan masa satu jam 31 minit 04.103 saat, Verstappen (kedua, satu jam 31 minit 18.687saat) dan Sergio Perez (ketiga, satu jam 37.574 saat).
Kedudukan berkenaan bagaimanapun menyaksikan Verstappen menerajui kedudukan teratas bagi saingan GP F1 2021 dengan 262.5 mata dan hanya dibezakan enam mata dengan Hamilton yang menamatkan saingan GP F1 Turki pada kedudukan berada pada kedudukan kelima dengan catatan masa 1 jam 31 minit 41.812 saat dan mengumpul 256.5 mata setakat ini.
Sementara itu Verstappen menjangkakan saingan sengit pada GP Amerika Syarikat yang dijadualkan berlangsung pada 25 Oktober kelak, khususnya daripada Hamilton yang sudah pasti mahu merampas semula kedudukan selaku peneraju.
Malah katanya, dengan hanya berbaki enam perlumbaan, apa sahaja boleh berlaku dan Hamilton pastinya akan bekerja keras bagi merampas semula kedudukan teratas.
“Secara keseluruhannya, kami telah mengharungi musim yang baik dan ia sudah pasti tidak akan mengubah apa-apa untuk kami menamatkan perlumbaan musim ini pada kedudukan pertama atau kedua pada penghujung musim.
“Cuma yang pasti, musim ini sudah hampir ke penghujungnya dan kami tidak akan mengalah dan akan terus mencuba sedaya upaya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!