Tinggal tujuh lembu brahman tepi jalan
PASIR MAS - Sebanyak tujuh ekor lembu baka brahman bernilai RM88,200 berjaya dirampas pasukan Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA9) semasa membuat rondaan di kawasan jalan perumahan Taman Purnama, Lubok Jong di sini.
Pegawai Pemerintah Medan PGA, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam rondaan jam 8 malam Sabtu itu, pihaknya menemui sebuah lori dalam keadaan mencurigakan.
"Lori berkenaan dari arah bulatan Pohon Tanjong menghala ke Repek. Kami mengekori lori tersebut dan telah mengarahkan pemandu berhenti untuk pemeriksaan tetapi pemandu bertindak memecut laju melarikan diri.
"Anggota kami mengejar pemandu berkenaan selama 20 minit dan setibanya di kawasan jalan perumahan Taman Purnama Lubok Jong, pemandu tersebut bertindak memberhentikan kenderaan secara tiba-tiba di tepi jalan.
“Dia terus melarikan diri ke arah semak yang berhampiran dan gagal dikesan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Menurutnya, selepas menunggu 30 minit, tiada siapa yang datang menuntut lembu-lembu yang dipercayai diseludup dari negara jiran itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 36 (1) Akta Binatang 1953.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!