Sukar pilih pemain, punca Sepanyol tewas

Pemain Sepanyol, Mikel Oyarzabal (hadapan), meraikan jaringan sulungnya pada aksi final berkenaan. -Foto EPA
Pemain Sepanyol, Mikel Oyarzabal (hadapan), meraikan jaringan sulungnya pada aksi final berkenaan. -Foto EPA
A
A
A

PENGENDALI Sepanyol, Luis Enrique menyifatkan kekalahan 1-2 skuad kendaliannya itu kepada Perancis pada aksi final Liga Negara-Negara UEFA di San Siro pada Isnin, adalah berikutan kesukaran untuknya memilih dan menentukan pemain yang bakal diturunkan.

Bagaimanapun menurut Enrique, pihaknya kesal atau terlalu kecewa akibat kekalahan berkenaan kerana kesemua pemain dilihat telah memberikan aksi terbaik di sepanjang kejohanan berkenaan.

“Kami menang ke atas pasukan tuan rumah yang juga juara Euro 2020, Itali pada aksi separuh akhir dan pada final, kami juga hampir mengheret juara Piala Dunia hingga penentuan sepakan penalti.

“Oleh itu, secara keseluruhannya kesebelasan pemain telah beraksi dengan cukup baik pada kejohanan kali ini.

“Sekali gus, menjadikan ia begitu sukar untuk memilih barisan pemain yang bakal beraksi kerana masing-masing dilihat cergas dan ternyata bersemangat untuk beraksi,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan Mikel Oryazabal membuka jaringan buat skuad La Roja itu pada minit ke-64, namun penyerang Les Bleus, Karim Benzema berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-66 sebelum Kylian Mbappe menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-80.

Kejayaan Perancis turut menjadikan pasukan berkenaan melakar sejarah muncul selaku pasukan kedua memenangi trofi Kejohanan Liga Negara-Negara UEFA selepas Portugal melakukannya pada edisi 2019 apabila menewaskan Belanda 1-0 pada aksi final.

Dalam pada itu, juara Euro 2020, Itali, menewaskan Belgium 2-1 untuk muncul pemenang tempat ketiga Kejohanan Liga Negara-Negara UEFA kali ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Enrique berkata, pihaknya menerima kekalahan berkenaan, biarpun ramai pihak yang mempertikaikan jaringan Mbappe pada minit ke-80, yang dikatakan ofsaid.

Katanya, dia tidak mahu memanjangkan perkara berkenaan dan berharap semua pihak dapat menerima keputusan perlawanan yang telah pun dimuktamadkan.

“Ketika di padang, kami selaku jurulatih, tidak dapat melihat dengan jelas, tetapi bagi saya gerakan gol itu juga satu gerakan yang sukar untuk dilakukan.

“Oleh itu, saya memilih untuk tidak berkata apa-apa mengenainya. Lagipun, saya memang jarang bercakap mengenai mutu pengadil atau perkara-perkara lain, sebaliknya lebih fokus terhadap skuad kendalian saya kerana itu adalah jauh lebih baik,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!