Penulis blog tidak mengaku hina Agong

Aspan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat penghantaran jelik berhubung Yang di-Pertuan Agong di laman Facebook miliknya, Mei lalu. - Foto Bernama
Aspan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat penghantaran jelik berhubung Yang di-Pertuan Agong di laman Facebook miliknya, Mei lalu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penulis blog berusia 69 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong di Facebook, Mei lalu.

Aspan Alias membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim M M Edwin Paramjothy.

Mengikut pertuduhan, dia yang juga bekas pegawai kanan sebuah bank didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Kesalahan didakwa dilakukan jam 2.47 petang, 16 Mei lalu melalui aplikasi Facebook menggunakan nama `Aspan Alias'.

Ia kemudian dibaca di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Wangsa Maju di sini, pada jam 9 pagi, 18 Mei lalu.

Atas tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama.

Ia membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Najihah Farhana Che Awang mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili tertuduh merayu anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum.

"Tertuduh yang telah kematian isteri menganggur sejak 1995 ketika krisis ekonomi melanda negara dan kini meneruskan kehidupan hasil sumbangan daripada anak-anaknya," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Edwin Paramjothy membenarkan Aspan dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 10 Disember depan untuk serahan dokumen.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!