Boleh guna watak Tan Sri, Datuk Seri tidak bermoral dalam drama

Annuar Musa ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat pada Isnin. - Foto Bernama
Annuar Musa ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) membenarkan penulisan skrip drama menggunakan watak atau gelaran tertentu seperti Datuk Seri yang tidak bermoral bagi menyampaikan mesej tertentu selagi tidak melanggar garis panduan ditetapkan.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, kementerian itu memahami keperluan tersebut dalam industri kreatif.

"Kita memahami dalam industri kreatif memang ada sifat yang digambarkan (watak bergelar Datuk Seri, Tan Sri yang tidak bermoral seperti terlibat dalam isu moral) untuk menyampaikan mesej tertentu serta sifat antagonis dan protagonis.

"Jadi, dibolehkan selagi penulisan itu membawa mesej umum yang tidak melanggar garis panduan tertentu apa lagi sentiasa menghormati prinsip Rukun Negara.

"Kita izinkan pendekatan kreatif (guna gelaran tertentu) termasuk dalam penulisan skrip drama, namun nilai yang berunsur negatif kepada masyarakat dalam bentuk yang mungkin bercanggah dengan prinsip yang saya sebutkan tadi akan sentiasa dipantau oleh KKMM," katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) yang mahu tahu apakah kementerian memantau skrip drama yang sewenang-wenangnya menggunakan watak bergelar seperti Datuk Seri yang tidak bermoral kerana dibimbangi menjatuhkan imej gelaran tersebut.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, kementeriannya melalui pelbagai agensi yang diwujudkan sentiasa peka dan memantau skrip drama yang disiar untuk tontonan umum di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!