'Bukan kemenangan mudah'
PENGENDALI Perancis, Didier Deschamps gembira dengan kemenangan 2-1 mengatasi Sepanyol sekali gus menjulang kejuaraan Liga Negara-Negara UEFA.
Menurutnya, walaupun para pemainnya tidak menampilkan persembahan baik, namun kemenangan itu sudah cukup membuktikan Perancis terus kukuh sebagai antara pasukan terkuat di Eropah.
"Kami bermain baik pada 20 minit pertama dan berjaya menguasai bola. Kami berhenti bermain selepas 20 minit. Kami menderita dan tidak berada dalam rentak terbaik, tetapi kami cuba bangkit.
"Pada separuh masa kedua, kami mengambil keputusan untuk menekan lawan dan menekan lawan. Kami cuba memenangi bola dalam kawasan lawan dan mencipta peluang.
"Sepanyol mempunyai keupayaan untuk menguasai bola. Apabila kami agresif, mereka membuat kesilapan dan kami menghukum mereka," katanya.
Dalam perlawanan itu, Mikel Oyarzabal terlebih dahulu membuka tirai jaringan buat Sepanyol pada minit ke-64 sebelum Karim Benzema menyamakan kedudukan dua minit berselang.
Kylian Mbappe menjadi wira Perancis apabila menyempurnakan gol kemenangan pada minit ke-80.
Dalam pada itu, Deschamps turut memberikan pujian kepada Benzema yang meledak gol penyamaan dalam perlawanan tersebut walaupun sebelum ini penyerang Real Madrid itu hampir disisihkan.
"Karim ialah pemain yang penting dan dia membuktikan dalam dua perlawanan bahawa dia memiliki bakat yang hebat, ia ada di sana untuk dilihat.
"Dia meningkat dalam banyak perkara, dia klinikal, dia memainkan peranan ketika membuka peluang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!