AKPK bangunkan program bantuan sementara kurangkan beban PKS
KUALA LUMPUR - Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sedang membangunkan program bantuan sementara atau Temporary Relief Programme (TRP) bagi mengurangkan beban pinjaman individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang masih menghadapi kesukaran memulihkan aliran tunai mereka.
Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa berkata, ini kerana kumpulan itu menghadapi masalah itu selepas berakhirnya bantuan bayaran balik di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) akibat pendapatan yang terus terjejas.
Jelasnya, maklumat terperinci berkenaan program ini akan diumumkan dalam masa terdekat.
"Peminjam akan turut menerima nasihat kewangan daripada AKPK termasuklah dari segi perancangan kewangan yang bersesuaian.
"Ia bersesuaian dengan keperluan peminjam, pendidikan berkenaan pengurusan kewangan dan juga rujukan kepada agensi-agensi lain melalui Rangkaian Sinergi Sosial (Social Synergy Network) bagi membantu meningkatkan keupayaan dan pendapatan peminjam.
"Oleh itu, adalah tidak benar tanggapan bahawa terdapat golongan yang akan tercicir terutamanya dari kalangan mereka yang terjejas, sekiranya bantuan moratorium pinjaman berakhir atau tidak dilaksanakan dengan lebih meluas seperti penghapusan caj faedah secara keseluruhan," katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) yang meminta kementeriannya menyatakan implikasi faedah terakru kepada peminjam menerusi moratorium.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!