Patuhi SOP, kekalkan trend penurunan kes Covid-19
GEORGETOWN - Pulau Pinang kini mencatatkan penurunan kes kepada tiga angka dan di bawah jumlah 600 sejak dua hari lalu.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, walaupun trend kini menunjukkan penurunan namun rakyat di negeri ini diingatkan agar terus berwaspada dan menjaga prosedur operasi standard (SOP) selaras dengan garis panduan ditetapkan walaupun sekatan jalan raya (SJR) bagi daerah serta negeri telah dimansuhkan.
Menurutnya, daripada data Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sehingga 10 Oktober, sebanyak 101 buah katil digunakan di unit rawatan rapi (ICU) untuk pesakit Covid-19 di negeri ini membabitkan 69 katil di Hospital Pulau Pinang (HPP) manakala 32 lagi di Hospital Kepala Batas (HKB).
"Terdapat trend penurunan kadar penggunaan katil ICU di Pulau Pinang iaitu kepada 83.3 peratus (sumber dari laman sesawang COVIDNOW).
"Sekiranya terdapat keperluan bagi pertambahan katil ICU, JKNPP bercadang untuk membuka empat lagi katil ICU di HPP dan empat lagi di Hospital Medan HPP secara berperingkat,"katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.
Selain itu, Kon Yeow berkata, pembinaan 10 katil ICU di Hospital Medan HKB sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap pada penghujung bulan ini.
Jelasnya, dengan trend penurunan kes di ICU serta penambahan bilangan katil ICU sebagaimana dirancang, ia diharap dapat mengurangkan kadar penggunaan katil ICU ke paras 50 peratus bagi membolehkan Pulau Pinang beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
"Pada fasa endemik kini, dijangkakan kebanyakan kes adalah dalam kategori tidak bergejala serta bergejala rendah selaras dengan kadar liputan imunisasi penduduk yang tinggi.
"Orang awam perlu bertanggungjawab terhadap kesihatan diri dengan melakukan ujian kendiri sekiranya bergejala dan mengasingkan diri di rumah. Sekiranya gejala bertambah buruk, segera dapatkan rawatan di klinik atau hospital terdekat,"katanya.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata fasiliti kesihatan perlu bersedia untuk menerima kes-kes bergejala terutamanya pesakit yang berisiko untuk ditempatkan di hospital ataupun Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) bagi tujuan pemantauan rapi.
Sehubungan itu, beliau berkata, kemudahan sedia ada di hospital awam dan PKRC akan dikekalkan untuk sementara waktu sehingga penilaian trend kes Covid-19 di fasa endemik kekal stabil.
Malah katanya, aktiviti pengawasan juga bakal dipertingkatkan untuk mengenal pasti trend penyakit bagi memastikan tindakan susulan awal dapat diambil.
Mengulas penggunaan ubat antiviral Molnupiravir (Merck Molnupiravir), Kon Yeow berkata, JKNPP menunggu arahan lanjut daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung penggunaannya untuk pesakit Covid-19 di negeri ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!