Sistem FTTIS: Persediaan negara hadapi fasa endemik
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pelaksanaan sistem FTTIS meliputi lima petunjuk iaitu kenal pasti, ujian, kesan, kuarantin dan sokongan dijangka dapat membantu negara dalam persediaan menghadapi fasa endemik.
Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, pelaksanaan sistem seperti yang dituntut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tersebut dapat mengenal pasti individu yang dijangkiti wabak Covid-19 dengan segera dan memudahkan mereka menghubungi Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).
Beliau berkata sistem baharu itu dapat mengurangkan masa antara mereka yang didapati positif sehingga menerima rawatan atau pemantauan daripada KKM.
“Sistem ini sangat penting untuk kita beralih ke fasa endemik. Tanpa sistem ini mungkin ada individu yang positif Covid-19 menggunakan ujian kendiri tetapi tidak melaporkannya dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga tidak tahu lokasi individu berkenaan.
“Ada risiko yang dia tidak mengasingkan diri, tidak mengubah status di aplikasi MySejahtera dan pergi merata tempat kemudian menjadi super spreader iaitu berupaya menjangkiti ramai orang," katanya ketika wawancara eksklusif di Astro Awani pada Ahad.
Khairy turut mengakui sistem tersebut saya penting kerana KKM sedang meningkatkan prestasinya dan akan dapat digunakan sepenuhnya dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi.
Sementara itu, Khairy berkata, KKM juga sedang menyelesaikan semua isu yang dibangkitkan terutama berkaitan penggunaan MySejahtera.
“Saya rasa sebahagian besar daripada isu sijil vaksinasi sudah pun diselesaikan dan akan terus diselesaikan,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!