Lari tinggalkan 200kg daun ketum dalam kereta
TANAH MERAH - Seorang pemandu kereta bertindak meninggalkan 200 kilogram (kg) daun ketum yang dianggarkan bernilai RM6,000 di tepi lorong sebelum melarikan diri selepas menyedari kehadiran pasukan keselamatan di Kampung Bendang Nyior dekat sini pada Ahad.
Pegawai Pemerintah Medan PGA, Superitendan Azhari Nusi berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.36 pagi Ahad itu, pasukan rondaan terserempak dengan sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
"Kenderaan itu dari arah Alor Pasir menghala ke Kampung Bendang Nyior, sebelum pemandunya bertindak memecut laju selepas menyedari keretanya sedang diekori.
"Pemandu kereta itu kemudiannya bertindak menghentikan kenderaannya di lorong sebelah kanan jalan dan meninggalkan kenderaan dengan keadaan pintu terbuka dan enjin masih hidup," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Azhari berkata, hasil pemeriksaan di dalam kereta terbabit menemui plastik hitam mengandungi daun hijau dibalut dengan kertas lut sinar dipercayai daun ketum yang diletakkan di bahagian but kenderaan tersebut.
"Selepas pemeriksaan dilakukan di kawasan sekitar, kita bagaimanapun gagal mengesan pemandu mahupun mana-mana individu berhampiran.
"Barang rampasan berkenaan diserahkan kepada Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!