Vaksinasi Covid-19 di fasiliti perubatan swasta

Golongan tersebut boleh menghubungi fasiliti yang terpilih untuk mendapatkan slot janji temu dahulu dan akan diberikan tarikh untuk diberikan vaksin. - Foto fail Bernama
Golongan tersebut boleh menghubungi fasiliti yang terpilih untuk mendapatkan slot janji temu dahulu dan akan diberikan tarikh untuk diberikan vaksin. - Foto fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Individu sekitar Lembah Klang yang belum menerima janji temu vaksinasi Covid-19 atau tidak sempat menerima dos kedua kini boleh mendapatkan imunisasi tersebut secara percuma di fasiliti kesihatan swasta mulai Isnin.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi kenyataannya memaklumkan, sebanyak 98 fasiliti kesihatan swasta terpilih oleh ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) bagi menambah baik akses pemberian vaksin di Selangor dan Kuala Lumpur.

"Buat masa ini individu di Lembah Klang yang ingin mendapatkan janji temu vaksinasi mereka perlu menghubungi dan membuat tempahan dengan fasiliti swasta berkenaan," katanya.

Menurutnya, program vaksinasi secara tempahan itu bertujuan mengelakkan pembaziran dan ketidakpastian permintaan vaksin.

"Kumpulan sasaran bagi program ini ialah golongan dewasa yang baru mendaftar dan belum mendapat janji temu, golongan dewasa yang terlepas janji temu dos pertama atau kedua dan juga golongan lain yang akan diumumkan oleh KKM dari masa ke masa," katanya.

Jelas KKM, golongan tersebut boleh menghubungi fasiliti yang terpilih untuk mendapatkan slot janji temu dahulu dan akan diberikan tarikh untuk diberikan vaksin.

Antara klinik yang berdaftar ialah Klinik Sp Care Bandar Baru Selayang, Hospital Pakar KPJ Rawang, Hospital Pakar An-Nur, Poliklinik Medi Ihsan, Saujana KLIA dan sebagainya.

Orang ramai boleh menyemak senarai tersebut di laman sosial KKM dan laman sesawang kementerian tersebut.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!