Pindaan tak ikut perlembagaan, kata Sri Ram
PUTRAJAYA - Pindaan kepada Akta Dadah Berbahaya 1983 yang mengenakan hukuman mati terhadap pesalah yang disabitkan atas kesalahan mengedar dadah, adalah tidak mengikut perlembagaan, Mahkamah Persekutuan, diberitahu hari ini.
Peguam, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, pindaan kepada akta itu menghapuskan budi bicara mahkamah untuk menjatuhkan sama ada hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati, bagi kesalahan tersebut.
“Kuasa untuk menjatuhkan hukuman dan menentukan bentuk hukuman, kedua-duanya adalah kuasa badan kehakiman. Fungsi badan kehakiman mesti dilaksanakan oleh badan kehakiman dan bukan oleh Parlimen,” hujah beliau dalam rayuannya di hadapan panel sembilan hakim yang mewakili tiga warganegara asing bagi mencabar hukuman mati mandatori yang diputuskan Mahkamah Tinggi.
Beliau berkata, penghapusan budi bicara oleh badan perundangan itu dianggap sebagai campur tangan dalam badan kehakiman dan menentang doktrin pemisahan kuasa.
Sri Ram berhujah, pindaan kepada akta itu telah mengurangkan budi bicara mahkamah kepada lebih sekadar amalan ‘pak turut’. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!