Ujian kendiri perlu dijadikan norma baharu setiap individu

 Ujian kendiri perlu dijadikan norma baharu kepada setiap individu terutama melibatkan individu yang tidak boleh divaksin. - Foto fail Bernama
Ujian kendiri perlu dijadikan norma baharu kepada setiap individu terutama melibatkan individu yang tidak boleh divaksin. - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Ujian kendiri perlu dijadikan norma baharu kepada setiap individu terutama melibatkan individu yang tidak boleh divaksin.

Shaharizukirnain Abd Kadir (Pas-Setiu) berkata, ini bagi mengelak berlakunya pandemik melibatkan mereka yang tidak divaksin sekiranya mereka tidak melakukan ujian kendiri secara berkala.

“Ini kerana golongan ini berisiko mendapat komplikasi yang teruk sekiranya dijangkiti Covid-19.

“Selain itu, ujian kendiri ini juga penting bagi memastikan kebenaran rentas negeri yang diumumkan semalam (Ahad) tidak menjadi punca kepada lonjakan kes harian akibat penularan kes positif disebabkan mereka tidak melakukan ujian kendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan tambahan dana Covid-19 di Dewan Rakyat pada Isnin.

Kerajaan pada Ahad bersetuju memberi kebenaran untuk Keluarga Malaysia yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran daripada Polis Di Raja Malaysia (PDRM) bermula Isnin

Mengulas lanjut, Shaharizukirnain turut membangkitkan mengenai tahap persiapan negara dalam menghadapi kebarangkalian lonjakan kes tinggi akibat daripada jangkitan mereka yang tidak boleh divaksin setelah kebenaran rentas negeri dibenarkan.

“Saya kira peruntukan khas perlu disalurkan bagi memastikan kit ujian kendiri adalah satu alat semua orang perlu menggunakannya di mana bukan sahaja mampu milik, malah dijadikan keperluan wajib kepada setiap rakyat,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!