Malaysia tidak laksana Skim Visa Buruh Ladang
KUALA LUMPUR - Malaysia memutuskan untuk tidak akan mengguna pakai pendekatan yang diguna pakai Australia berhubung Skim Visa Buruh Ladang dalam sektor pertanian kerana ia menjurus kepada penawaran sebagai penduduk tetap, persidangan Dewan Negara diberitahu pada Isnin.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, Malaysia telah dimaklumkan mengenai pengenalan skim berkenaan oleh kerajaan Australia semasa kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Dr Justin Lee ke atas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, pada 7 September lepas.
“Oleh sebab itu, kerajaan memperkenalkan program Malaysianisation (Malaysianisasi) bagi menggalakkan pengambilan tenaga kerja tempatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Negara di sini pada Isnin.
Beliau menjawab soalan Senator Nuridah Mohd Salleh yang ingin tahu mengenai sejauh mana perbincangan antara Malaysia dan Australia mengenai Skim Pekerja Sektor Perladangan.
Awang berkata, melalui program Malaysianisasi, pekerja layak menerima insentif tambahan sebanyak RM500 atau 20 peratus daripada gaji bulanan.
“Sebagai contoh, sekiranya tawaran gaji adalah RM1,500, pekerja akan diberi insentif RM500 menjadikan jumlah gaji kasar sebanyak RM2,000. Had kelayakan insentif ini telah ditetapkan kepada pemberian gaji pekerja pada paras minimum RM1,500 bagi majikan yang menyertai program ini,” katanya.
Awang berkata, Australia memperkenalkan Skim Visa Buruh Ladang untuk menangani kekurangan pekerja sektor pertanian dan perladangan yang kurang mendapat sambutan daripada pekerja tempatan dan skim itu dijangka memberi peluang pekerjaan kepada pekerja migran untuk bekerja selama tiga tahun dalam sektor berkenaan di Australia.
“Australia dan Malaysia menghadapi masalah sama iaitu kekurangan guna tenaga dalam sektor perladangan di negara masing-masing serta kebergantungan yang tinggi terhadap guna tenaga asing dalam sektor tersebut.
“Senario di Australia dan Malaysia agak mirip dengan sektor perladangan yang rata-ratanya melibatkan kerja 3D iaitu bahaya, kotor dan sukar (dangerous, dirty, difficult) menyebabkan ramai pekerja tempatan tidak berminat untuk menceburkan diri dalam sektor tersebut,” katanya.
Sementara itu, pada sidang akhbar, Awang mengingatkan para majikan supaya tidak mengambil kesempatan dan menyalah guna program berkenaan untuk merendahkan gaji pekerja seterusnya mengharapkan kerajaan menanggung selebihnya.
Beliau berkata, program tersebut dilaksanakan dengan tujuan menarik minat pekerja tempatan bekerja di sektor-sektor yang kian dipenuhi pekerja asing.
“Kita rasa mana-mana pihak tidak boleh mengambil kesempatan eksploitasi keadaan kita dengan negara sedang menghadapi pandemik Covid-19.
“Kalau perkara ini ada berlaku, kita minta pekerja untuk membuat aduan di portal Working For Workers dan kita akan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan program itu,” katanya.
Menurut Awang, setakat 1 Oktober lepas, sebanyak 1.7 juta kekosongan jawatan telah diiklankan dan 270,358 jawatan dalam kategori aktif untuk dipadankan dengan pencari kerja.
Katanya, daripada jumlah itu, 223,870 kekosongan berjaya diisi manakala 46,488 kekosongan jawatan aktif masih lagi terbuka untuk tujuan pemadanan.
Beliau turut menekankan had kelayakan insentif yang ditetapkan dengan paras gaji minimum pekerja sebanyak RM1,500 bagi majikan yang menyertai program itu tidak bersangkut paut dengan penetapan kadar gaji minimum sebanyak RM1,200 sebulan melalui Perintah Gaji Minimum 2020 yang masih berkuat kuasa. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!