45,000 kenderaan dijangka masuk Melaka bermula Jumaat

Sebahagian kenderaan yang masuk ke Melaka susulan kebenaran rentas negeri bermula Isnin. (Gambar kecil: Razali)
Sebahagian kenderaan yang masuk ke Melaka susulan kebenaran rentas negeri bermula Isnin. (Gambar kecil: Razali)
A
A
A

MELAKA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangkakan peningkatan kemasukan kenderaan di negeri ini sehingga mencecah 45,000 buah sehari bermula Jumaat ini susulan kebenaran rentas negeri yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah berkata, setakat ini dianggarkan kira-kira 19,000 kenderaan yang masuk ke negeri ini dan jumlah itu dijangka boleh mencecah angka tersebut bermula Jumaat, Sabtu dan Ahad ini.

Menurutnya, bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP), pihaknya akan membuat sekatan jalan raya (SJR) bergerak secara berkala di kawasan tumpuan ramai termasuk di pintu masuk Plaza Tol Ayer Keroh di sini.

Katanya, semua pegawai-pegawai dan anggota PDRM diarahkan bekerjasama dalam memantapkan pematuhan SOP kerana pihaknya tidak mahu dengan kemasukan kenderaan negeri ini ada pihak yang sambil lewa hingga berlakunya penularan pandemik Covid-19.

"Ini hanya pematuhan secara berkala yang mana ia diketuai oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Bahagian Siasatan Jenayah (CID), pasukan unit peronda polis (MPV) dan sebagainya.

Seorang penunggang motosikal, Muhmamad Nur Mustaqim Abdul Wahab dari Johor menunjukkan aplikasi MySejahtera kepada seorang anggota polis di Plaza Tol Ayer Keroh, pada Isnin.
Seorang penunggang motosikal, Muhmamad Nur Mustaqim Abdul Wahab dari Johor menunjukkan aplikasi MySejahtera kepada seorang anggota polis di Plaza Tol Ayer Keroh, pada Isnin.

"Ini untuk memastikan mereka yang masuk ke negeri ini mempunyai vaksin lengkap, jika mereka tidak mempunyai vaksin lengkap tetapi dari negeri lain, maka tindakan akan diambil di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya ketika membuat tinjauan di Tol Ayer Keroh pada Isnin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tumpuan juga akan diberikan kepada polis pelancong yang akan digerakkan ke lokasi-lokasi 'hotspot' pelancongan sama ada chalet, pusat peranginan pantai, motel dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, setakat ini terdapat seramai 72 polis pelancong di Melaka dan pihaknya akan membuat penambahan anggota sekiranya diperlukan.

"Penugasan pasukan ini akan beri tumpuan bukan sahaja untuk pematuhan SOP sahaja, malah memberi penerangan kepada mereka tempat-tempat yang boleh atau tidak boleh dilawati," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!