Aliran trafik di Terengganu dijangka meningkat dua kali ganda

Aliran trafik di LPT2 di Plaza Tol Gemuruh, Kuala Terengganu masih lagi lancar di kedua-dua arah. (Gambar kecil: Ismail)
Aliran trafik di LPT2 di Plaza Tol Gemuruh, Kuala Terengganu masih lagi lancar di kedua-dua arah. (Gambar kecil: Ismail)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Aliran trafik di Terengganu dijangka meningkat sehingga dua kali ganda pada hujung minggu bermula Jumaat sehingga Ahad ini berikutan pengumuman kerajaan yang membenarkan pergerakan rentas negeri berkuat kuasa, pada Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu, Superintendan Ismail Man berkata, aliran trafik dijangka meningkat terutama bagi pengguna yang menghala ke Kelantan.

"Berdasarkan statistik dianggarkan sebanyak 15,000 kenderaan keluar masuk di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) setiap hari, bagaimanapun berkemungkinan besar kenderaan menggunakan LPT2 ini dijangka meningkat sehingga dua kali ganda bermula hujung minggu ini.

"Kami menjangkakan pertambahan jumlah kenderaan di laluan keluar tol Kuala Terengganu kerana ia merupakan laluan yang sama menuju ke Kota Bharu, Kelantan.

"Jadi, kita jangka sepanjang laluan tersebut akan berlaku kesesakan kerana kenderaan yang menuju ke Kota Bharu, Kelantan akan menempuh tiga daerah di bawah pemantauan kontinjen IPK kami iaitu daerah Kuala Terengganu, Setiu dan Besut," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas meninjau keadaan lalu lintas di Plaza Tol Gemuruh pagi Isnin.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian hari pertama rakyat Malaysia dibenarkan merentas negeri di lokasi mendapati keadaan lalu lintas masih lagi lancar dan terkawal di kedua-dua arah.

Mengulas lanjut, Ismail bagaimanapun berkata, pihaknya menjangkakan pertambahan aliran trafik dijangka berlaku pada Jumaat ini dan bagi memastikan aliran trafik lancar, pihaknya sudah melakukan persiapan seperti mana operasi Ops Selamat yang dilaksanakan sebelum ini.

"Perancangan yang pertama kita akan bekerjasama dengan pihak konsesi dengan menambahkan kaunter bayaran di laluan keluar Tol Kuala Terengganu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ismail berkata, daripada segi penugasan anggota termasuk rondaan dan pemantauan di sepanjang laluan, kira-kira 60 pegawai dan anggota diarahkan melakukan rondaan lebih kerap di sepanjang laluan tersebut terutamanya di kawasan lampu isyarat.

"Kita akan buat laluan terus dengan menutup laluan tengah di lampu isyarat bagi melancarkan perjalanan untuk ke Kota Bharu, Kelantan," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju memberi kebenaran kepada rakyat Malaysia yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri bermula Isnin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!