Tidak pandang mudah Kanada

Aaron menegaskan pasukan negara tetap berwaspada dengan cabaran Kanada.
Aaron menegaskan pasukan negara tetap berwaspada dengan cabaran Kanada.
A
A
A

SKUAD badminton negara tidak akan memandang mudah cabaran Kanada menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam aksi pembukaan Piala Thomas yang berlangsung di Aarhus, Denmark pada awal pagi Rabu.

Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia berkata, kesemua pemain negara perlu memberikan yang terbaik walaupun atas kertas Malaysia dilihat tidak berdepan masalah untuk menewaskan Kanada.

"Untuk lawan Kanada memang kami akan bersedia sepenuhnya dan tidak akan sekali-kali memandang rendah keupayaan lawan.

"Sebab kita pun perlu menang dulu berdepan Kanada sebelum boleh mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir," katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Diundi dalam kumpulan D, Malaysia hanya perlu melepasi halangan Kanada pada Selasa untuk mengesahkan tiket ke suku akhir sebelum melengkapkan aksi kumpulan menentang pasukan pilihan, Jepun pada Khamis.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hanya menghantar Lee Zii Jia, Leong Jun Hao dan gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik sebagai pemain senior yang memiliki pengalaman beraksi di pentas Piala Thomas sebelum ini.

Sementara pemain muda dan kurang berpengalaman di pentas dunia seperti Ng Tze Yong, Cheam June Wei dan Aidil Sholeh Ali Sadikin bagi perseorangan lelaki dan Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun untuk beregu lelaki dihantar pada edisi kali ini untuk menimba pengalaman sebagai persediaan untuk Sukan Olimpik Paris 2024.

Dalam pada itu, Aaron turut mengharapkan pemain muda negara yang bakal diberikan tanggungjawab untuk beraksi ketika berdepan Kanada memberikan yang terbaik dan membuktikan keupayaan mereka menentang pemain yang jauh lebih bagus.

Artikel Berkaitan:

"Main sepenuh hati, jika dapat peluang masuk dan bermain, tunjukkan kemampuan serta berikan aksi yang terbaik.

"Saya yakin setiap pemain juga sudah bersedia untuk memberikan segalanya kerana ini peluang mereka untuk mencari pengalaman di pentas tertinggi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!