Sektor perdagangan tidak perlu surat kebenaran CIMS
PUTRAJAYA- Susulan pembukaan sempadan negeri, semua perniagaan dalam sektor perdagangan pengedaran di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak lagi memerlukan surat kebenaran beroperasi melalui Sistem Covid-19 Information Management System (CIMS).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, walau bagaimanapun, setiap sektor masih lagi tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) semasa.
"Ia terutamanya bagi negeri-negeri yang masih dalam Fasa 2 dan 3 PPN," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, pengguna dan peniaga dinasihatkan agar menjadi pengguna yang bijak berhemah dalam perbelanjaan dengan melaksanakan strategi pembelian bagi memaksimumkan penjimatan.
"Utamakan kualiti dan sentiasa membuat perbandingan harga dan membeli dari premis yang menawarkan harga berpatutan," katanya.
Beliau berkata, kebenaran merentas negeri dilihat sebagai satu lagi langkah positif kerajaan ke arah merancakkan pemulihan ekonomi negara terutama ekonomi domestik dan khususnya sektor pengedaran dan peruncitan.
"Sektor perdagangan pengedaran merupakan antara aktiviti ekonomi utama dalam negara dan telah menyumbang sebanyak 16 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau RM311.6 bilion nilai jualan pada suku kedua 2021," katanya.
Beliau berkata, sektor pengedaran dan peruncitan telah dibuka sepenuhnya, namun masih perlu mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam membendung penularan Covid-19.
"Keluarga Malaysia juga diingatkan agar tidak bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran yang diberikan.
"Pastinya semua telah melalui kesusahan dan keperitan dalam mematuhi langkah-langkah yang terpaksa diambil kerajaan semasa pandemik seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ia tidak harus berulang disebabkan kelalaian ahli Keluarga Malaysia dalam mematuhi SOP yang telah ditetapkan," katanya.
Alexander berkata, langkah tersebut penting dalam usaha membantu negara dalam pembukaan semula ekonomi serta persediaan menjalani kehidupan fasa endemik dengan selamat.
"Penguat kuasa KPDNHEP akan meneruskan pemeriksaan dan penguatkuasaan pematuhan menerusi Ops Samar di mana pegawai penguat kuasa akan berpakaian biasa bagi memastikan premis-premis perniagaan dan orang ramai mematuhi SOP yang telah ditetapkan bagi mencegah penularan wabak Covid-19," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!