Siti Nurshuhaini dapat pengalaman berharga

Siti Nurshuhaini.- Foto FB BAM
Siti Nurshuhaini.- Foto FB BAM
A
A
A

PERSEORANGAN wanita remaja negara, Siti Nurshuhaini Azman mendapat pengalaman berharga sekalipun tumbang di tangan pemain handalan China, He Bing Jiao 21-8, 21-3 dalam aksi Piala Uber di Aarhus, Denmark pada Ahad.

Siti Nurshuhaini berkata, dia gembira mendapat pendedahan menentang pemain nombor sembilan dunia itu, namun tidak berpuas hati dengan corak persembahan yang dipamerkannya.

"Saya rasa kurang puas hati (dengan permainan saya ini), tetapi saya dapat pengalaman berharga sebab menentang dengan pemain daripada China. Hujung perlawanan itu rasa agak macam susah sikit sebab saya tak berapa cukup untuk ikut game dia. Tetapi saya tidak mengalah.

"Selagi perlawanan belum habis saya tidak boleh mengalah. Saya tetap cuba yang terbaik tetapi saya tetap rasa permainan saya tidak memuaskan hati," katanya yang berada di ranking ke-455 dunia.

Dalam aksi tersebut, China terlalu unggul apabila menewaskan skuad badminton negara 5-0 sekali gus menyaksikan perjuangan wakil negara dalam kejohanan itu bakal berakhir.

Skuad negara pada edisi Piala Uber kali ini dibarisi ramai pemain muda sebagai pendedahan untuk saingan Olimpik Paris 2024.

Dalam pada itu, seorang lagi pemain muda remaja negara, K Letshanaa tampil dengan permainan sengit namun terpaksa akur dengan pemain di ranking ke-18 dunia, Wang Zhi Yi 21-15, 21-11.

Bagi Letshanaa, dia berpuas hati dengan permainannya berbanding ketika tewas kepada pemain Denmark, Line Kjaersfeldt pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

"Pemain China ini dia lebih baik daripada segi penguasaan gelanggang dan lebih pantas. Saya juga agak kepenatan selepas perlawanan pertama menentang Denmark.

"Saya all out pada set pertama kemudian pada set kedua, main rally panjang dan kemudian mistake sendiri atau tidak boleh ambil shot lawan. Tetapi, saya rasa permainan saya ok," kata pemain berusia 18 tahun itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!