Rentas negeri pacu prospek pelancongan, ekonomi lebih cerah
PROSPEK industri pelancongan negara dijangka cerah dengan landskap ekonomi lebih positif serta peluang meraih manfaat besar susulan keputusan kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri mulai hari ini, kata pakar ekonomi.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, langkah membabitkan kalangan dewasa yang mendapat vaksinasi lengkap itu akan turut menyaksikan 2022 sebagai tahun lebih baik berbanding 2021 apabila rakyat perlu akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada pertengahan tahun ini.
“Industri pelancongan akan meraih manfaat dengan pantas. Pada tahun lepas misalnya, perbelanjaan perlancongan domestik merundum ke paras RM40.4 billion berbanding RM103.2 billion pada 2019.
“Justeru, tempoh suku keempat tahun ini akan menyaksikan pertumbuhan lebih baik berbanding suku ketiga dengan bermulanya kebenaran merentas negeri itu,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam juga menyifatkan keputusan kerajaan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad, sebagai penting dari segi memastikan kelangsungan hidup rakyat, ekonomi negara serta kesihatan awam.
Menurutnya, pandemik Covid-19 terbukti memberi impak ketara sehinggakan banyak perniagaan dibebani masalah kewangan serta terpaksa ditutup manakala terdapat golongan berpendapatan tinggi atau T20 yang sebaliknya kini menjadi kelompok berpendapatan sederhana atau M40.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, pergerakan rentas negeri tersebut mampu memperkasa semula sektor ekonomi berikutan aliran tunai menerusi pembelian dan perbelanjaan orang ramai menerusi perusahaan runcit, perhotelan dan penyediaan makanan dan minuman (F&B).
“Ia juga bertepatan dengan langkah untuk membangkitkan semula ekonomi tempatan yang telah malap akibat pelaksanaan kawalan pergerakan bagi jangka tempoh yang lama.
“Saya menjangkakan sektor penyediaan makanan, peruncitan dan perhotelan itu akan bangkit semula serta mampu mencetuskan rantaian pemerkasaan sektor ekonomi secara menyeluruh,” katanya.
Mohammad Tawfik juga mengunjurkan peningkatan pendapatan menyeluruh sektor-sektor terbabit dianggarkan mencecah kira-kira 75 peratus dalam tempoh seminggu hingga dua minggu ini.
Ini berikutan terdapat kekangan seperti pembukaan sektor penerbangan secara berperingkat dari segi domestik dan ke luar negara, syarikat atau premis yang perlu merancang semula strategi perniagaan serta langkah berhati-hati industri untuk menambah bilangan pekerja, katanya.
“Pengumuman semalam (Ahad) tidak hanya terhad kepada sektor-sektor tertentu sebaliknya melibatkan pembukaan secara sepenuhnya termasuk pelancongan yang kini tiada lagi gelembung pelancongan.
“Langkah itu mampu memacu ekonomi sekali gus akan meningkatkan unjuran peningkatan pendapatan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng menyifatkan kebenaran pergerakan rentas negeri itu sebagai berita yang dinantikan rakyat untuk kembali kepada kehidupan biasa dalam aktiviti sosial, perniagaan dan ekonomi negara.
Malah, katanya, ini turut menggambarkan aspek keyakinan apabila tahap vaksinasi golongan dewasa lengkap dengan kemungkinan penularan semula virus itu kini kurang ketara atau boleh menyebabkan ekonomi terpaksa ditutup.
“Meskipun ramai pengguna dan petugas barisan hadapan kekal berwaspada terhadap risiko jangkitan virus berkenaan, namun pembukaan semula ekonomi sepenuhnya adalah penting bagi mencapai pemulihan ekonomi yang lebih mampan serta peralihan ke fasa (endemik) untuk hidup bersama virus itu,” katanya.
Kim Leng bagaimanapun menekankan kepentingan untuk memacu perbelanjaan domestik bagi meningkatkan pemulihan ekonomi yang setakat ini terus giat menerusi aktiviti eksport yang kukuh.
“Sektor domestik yang telah terjejas akibat sekatan pergerakan membabitkan sosial dan perniagaan seperti runcit, makanan dan minuman, pengangkutan, perjalanan, industri berkaitan hospitaliti dan pelancongan dijangka menyaksikan perkembangan positif dalam bulan-bulan akan datang.
“Usaha rangsangan perbelanjaan secara beransur-ansur ini adalah susulan sikap pengguna yang lebih mengambil pendirian ‘tunggu dan lihat’ berikutan jumlah kes jangkitan Covid-19 masih tinggi walaupun kian berkurangan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!