Tiada lagi amaran, terus kompaun individu belum vaksin rentas negeri
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati merentas negeri sebelum lengkap menerima dua dos vaksin susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali berkata, tindakan tegas terus diambil terhadap mereka jika didapati gagal mematuhi arahan berkenaan.
Beliau memberitahu, pemantauan akan dilakukan di lokasi tumpuan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dipatuhi.
"Kerajaan sudah mengumumkan individu yang mahu merentas negeri perlu lengkap divaksin. Polis tidak lagi memberi amaran sebaliknya akan terus mengeluarkan kompaun kepada mereka yang gagal mematuhi arahan itu," katanya pada Isnin.
Hazani memberitahu, pemantauan akan dilakukan di kawasan rehat dan rawat (R&R), pusat beli-belah dan lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai.
Sinar Harian pada Ahad melaporkan kebenaran merentas negeri yang diumumkan menerusi satu sidang media khas oleh Perdana Menteri dalam usaha menuju fasa endemik dan pembukaan semula sektor ekonomi negara.
Kerajaan bersetuju memberi kebenaran kepada rakyat Malaysia yang menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula Isnin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!