Jualan tiket bas ke Kelantan meningkat hampir 70 peratus

Jualan tiket bas ekspres untuk laluan memasuki Kelantan bermula Isnin meningkat hampir 70 peratus selepas kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri bermula hari ini. - Gambar hiasan
Jualan tiket bas ekspres untuk laluan memasuki Kelantan bermula Isnin meningkat hampir 70 peratus selepas kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri bermula hari ini. - Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Jualan tiket bas ekspres untuk laluan memasuki Kelantan bermula Isnin meningkat hampir 70 peratus selepas kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri bermula hari ini.

Ejen jualan tiket bas ekspres di Kelantan, Izani Zakaria, 39, memberitahu, sejak keputusan tersebut diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad, orang ramai mula menghubunginya untuk membuat tempahan awal tiket bagi tujuan pulang ke kampung di Kelantan.

"Mereka yang hubungi saya terdiri dari pelanggan tetap dan ada juga yang baharu. Mereka masing-masing menempah dan beli tiket perjalanan bermula malam Isnin.

"Itu tidak termasuk perjalanan hujung minggu, hampir 70 peratus kenaikan berlaku melibatkan jualan tiket pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.

Menurutnya, lebih mengujakan, ada ibu bapa yang membuat pembelian tiket untuk anak dan cucu mereka yang berada di perantauan.

Beliau berkata, walaupun tidak semua laluan dibuka, namun ia akan tetap berlaku secara berperingkat mengikut keadaan semasa.

Izani Zakaria
Izani Zakaria

"Saya jual tiket bas ekspres melibatkan 10 buah syarikat dan hampir kesemua laluan yang laris adalah melibatkan perjalanan dari Lembah Klang ke Kelantan.

Artikel Berkaitan:

"Ada yang beli tiket sehala dan ada yang dua hala. Perjalanan dua hala pula ada yang sampai seminggu. Inilah masanya untuk mereka berada di kampung selepas bertahun tidak dapat berjumpa keluarga tersayang," katanya.

Izani memberitahu, walaupun masing-masing tidak sabar untuk pulang ke kampung, namun dia tetap menitipkan pesanan kepada setiap pelanggan supaya sentiasa menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.

"Saya selalu pesan pada pelanggan, jaga diri, jaga kebersihan, kalau tidak sihat, kena maklum, jangan redah saja dan menyusahkan orang lain.

"Syarikat-syarikat bas itu juga mementingkan penjagaan SOP dan akan mensanitasi bas selepas digunakan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!