Northport, Proton meterai kerjasama

No Image Caption
A
A
A

NORTHPORT (Malaysia) Bhd dan Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) memeterai kerjasama strategik dan perjanjian perkhidmatan bagi perkhidmatan pelabuhan.

Northport dalam satu kenyataan hari ini berkata, kerjasama tersebut termasuklah bagi simpanan kenderaan dan pengendalian kenderaan Proton di pelabuhan itu.

Menurut pengendali pelabuhan itu, Proton akan terus menggunakan Northport untuk mengeksport, mengimport dan pindah kapal kenderaannya.

“Ketika ini, kami menawarkan 8,100 slot bagi simpanan kenderaan 4,500 slot diperuntukkan bagi Proton,” kata syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata, pelabuhan itu bersedia untuk memudahkan permintaan Proton bagi perkhidmatan pelabuhan komprehensif dan berupaya menyediakan perkhidmatan logistik automotif yang menyeluruh.

“Proton menggunakan pelabuhan itu untuk menyokong aktiviti berkaitan penghantaran sejak 1989 dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama pengeluar kereta tersebut, Proton X70, ketika ini menggunakan Northport sebagai pelabuhan pelepasannya.

“Setakat ini, Norhtport telah mengendalikan hampir 9,000 SUV itu dan dijangka terus mengendalikan baki kenderaan tersebut sebelum pengeluaran tempatan bermula pada akhir 2019,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemerolehan Proton, Datuk Radzaif Mohamed berkata, Northport adalah rakan kongsi strategik penting bagi rancangan syarikat tersebut untuk mengembangkan pasaran eksportnya.

Artikel Berkaitan:

“Proton gembira dapat mengembangkan kerjasama perniagannya dengan Northport dalam usaha untuk membina semula jenama tersebut di dalam dan luar negara,” kata Radzaif. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!