Kapal kontena terbesar dunia singgah di PTP

Pelabuhan Tanjung Pelepas
Pelabuhan Tanjung Pelepas
A
A
A

PELABUHAN Tanjung Pelepas (PTP) menjadi lokasi persinggahan pertama di Asia Tenggara bagi Ever Ace, kapal pengangkut kontena terbesar dunia dan terbaru milik Evergreen Marine Corporation yang menjadi sebahagian daripada pelayaran sulungnya di rantau ini.

Kapal mega berkenaan tiba di pelabuhan berkenaan pada jam 12 tengah hari semalam.

Pengerusi PTP merangkap Pengarah Urusan MMC Corporation Bhd, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh menyifatkan kehadiran Ever Ace di PTP sebagai memaparkan keyakinan kukuh syarikat pengendali kapal terhadap keupayaan pelabuhan berkenaan serta komitmennya untuk memenuhi keperluan pelanggan.

“Biarpun industri pelabuhan global berdepan pandemik Covid-19 serta pelbagai cabaran dan isu yang secara langsung menyebabkan ketidaktentuan jumlah kendalian kontena, PTP sebaliknya mencatat prestasi yang memberangsangkan.

“Ini termasuk terus merekodkan pertumbuhan organik yang menjadikannya berada dalam kelompok 15 pelabuhan teratas dunia,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Marco Neelsen berkata, pelabuhan tersebut akan terus memanfaatkan kedudukan strategiknya sebagai hab transit pemunggahan serantau global selain kelebihan daya saingnya dalam segmen pelanggan dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti dengan nilai tambah untuk mereka.

“Sejak beberapa tahun lamanya, PTP telah bertindak memperkukuh kedudukannya menerusi pelaburan dalam peralatan baharu serta usaha mempertingkat kapasiti pengendalian kontena dan terus memperkasa keupayaan perkhidmatan kami bagi memenuhi permintaan pasaran serta keperluan pelanggan yang terus ketara,” katanya.

Menurutnya, ini juga dapat memastikan kapal pengangkut kontena ultra besar generasi baharu itu dapat dikemudi dengan selamat ke pelabuhan itu dan pada masa sama memberi jaminan dari segi impak minimum terhadap jadual pelayaran pengendali terbabit.

Artikel Berkaitan:

Ever Ace merupakan kapal pengangkut kontena kelas 24,000 TEU atau unit bersamaan kontena 20 kaki yang pertama untuk Evergreen Line dan kapal jenis A dengan ukuran panjang hampir 400 meter dan lebar 61.5 meter.

Ia boleh belayar pada kelajuan sehingga 22.6 knot dengan kapasiti mengangkut nominal sebanyak 23,992 TEU.

Kapal mega itu yang sedang dalam perjalanan pertama bagi perkhidmatan laluan China-Eropah-Mediterranean Evergreen, sebelum ini singgah di Colombo, Sri Lanka dan destinasi seterusnya adalah Kaohsiung, Taiwan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!