Martabat seni khat untuk generasi muda

Nuur Tasneem diumumkan sebagai johan kategori Sekolah Menengah pada Majlis Penutup Pertandingan Seni Khat Remaja Peringkat Negeri Perak secara maya pada Isnin.
Nuur Tasneem diumumkan sebagai johan kategori Sekolah Menengah pada Majlis Penutup Pertandingan Seni Khat Remaja Peringkat Negeri Perak secara maya pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Inisiatif untuk menghidupkan seni khat perlu dilakukan dalam usaha mempertahankan warisan itu daripada pupus.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, khat sebenarnya bukan sekadar seni tetapi unsur yang sangat berkait rapat dengan kehidupan manusia.

Menurutnya, sistem penulisan khat ini terbukti telah bermula sejak zaman Rasulullah SAW sehingga zaman sahabat dan diikuti dengan zaman-zaman pemerintahan Islam yang lain.

"Saya sebenarnya amat berbangga kerana Gerakan Belia 4B Perak menggerakkan inisiatif untuk terus menghidupkan seni khat ini. Di banyak negara, seni khat dianggap suatu warisan berharga yang perlu dipertahankan daripada pupus.

"Kesenian kaligrafi ini mempunyai keistimewaan dan keunikannya yang tersendiri," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Pertandingan Seni Khat Remaja Peringkat Negeri Perak secara maya pada Isnin.

Sementara itu, Saarani berkata, pihaknya amat menghargai komitmen Gerakan Belia 4B Perak untuk memartabatkan seni khat berkenaan melalui pertandingan secara digital.

Jelasnya, penglibatan anak muda menerusi pertandingan tersebut memberi pengharapan agar seni khat itu dapat diteruskan oleh generasi masa hadapan.

Sementara itu, Pengarah Pertandingan Seni Khat Remaja Peringkat Negeri Perak, Wan Mohammad Afiq Wan Aris Fathillah berkata, penganjuran julung kali oleh Gerakan Belia 4B Perak itu mendapat kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Perak, Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak (MAIPk), Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Pejabat Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak.

Artikel Berkaitan:

Menurut Naib Pengerusi (Remaja) Gerakan Belia 4B Perak itu, seramai 200 individu menyertai pertandingan melibatkan tiga kategori iaitu Terbuka, Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah.

Beliau berkata, susulan pertandingan tersebut, Gerakan Belia 4B Perak akan menganjurkan kursus dan kelas asas seni khat kepada seluruh belia di Perak yang berminat.

Dalam perkembangan berkaitan, johan bagi kategori Terbuka dimenangi Muhd Faizul Amir Ramli, 35, manakala johan bagi kategori Sekolah Menengah disandang Nuur Tasneem Mohd Hafiz, 14 dan Nur Izzatul Humaira' Norshaharizal, 11, pula dinobatkan sebagai johan bagi kategori Sekolah Rendah.

Johan setiap kategori menerima wang tunai RM800 diikuti naib johan menerima RM600 dan tempat ketiga RM400 manakala 10 lagi peserta terbaik menerima hadiah saguhati.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!