Aliran trafik dijangka meningkat di Johor

Aliran trafik di Plaza Tol Skudai lancar pada Isnin.
Aliran trafik di Plaza Tol Skudai lancar pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Keadaan aliran trafik di lebuh raya dan jalan raya di negeri ini dijangka meningkat berikutan aktiviti rentas negeri bermula Isnin.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor Deputi Superintendan Khairul Azhar Ismail berkata, purata kenderaan yang melalui Lebuhraya Utara Selatan kira-kira 17,000 kenderaan sehari.

"Dijangka berlaku kesesakan dan peningkatan kenderaan di lebuh raya dan jalan-jalan negeri sebanyak 40 peratus pada hujung minggu ini melibatkan purata kenderaan harian meningkat kepada 19,000 hingga 21,000 buah kenderaan.

"Bagaimanapun setakat ini keadaan aliran trafik masih terkawal. Anggota polis sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan tiada kesesakan luar biasa berlaku," katanya ketika ditemui pada Isnin.

Khairul Azhar turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik.

"Orang ramai juga diingatkan memastikan tahap kesihatan diri dalam keadaan yang baik selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kebenaran rentas negeri ini juga terpakai kepada kenderaan perdagangan dan tiada sekatan dikenakan kepada kenderaan berat itu untuk beroperasi. Pengguna jalan raya perlu mematuhi peraturan undang-undang lalu lintas," katanya.

Pada Ahad, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri bermula Isnin secara serentak di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!