Peladang mahu bangunkan tanah terbiar di Melaka
MELAKA TENGAH - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berminat untuk membangunkan tanah terbiar di negeri ini.
Pengerusinya, Datuk Mazlan Aliman berkata, usaha itu termasuk memohon pengiktirafan Tanah Adat Melaka (MCL) di dua lokasi iaitu di Masjid Tanah dan Alor Gajah yang bekeluasan 14 hektar bagi memajukan tanah tersebut dengan pelbagai projek pertanian sama ada memperluaskan projek tanaman buah Markisa mahupun menjalankan aktiviti fetigasi yang mampu mengambil masa tiga hingga empat bulan bagi mengeluarkan hasil.
Menurutnya, biarpun Melaka merupakan negeri yang kecil namun yakin masih terdapat tanah yang boleh diusahakan sekali gus ke arah pertanian pelancongan.
Katanya, langkah untuk memajukan tanaman Markisa disebabkan permintaan pasaran yang tinggi dan sekurang-kurangnya memerlukan 10 ekar tanah di negeri ini bagi memenuhi permintaan pasaran terhadap buah tersebut yang kini telah diusahakan di daerah Melaka Tengah.
"Antara isu yang dibincangkan walaupun Melaka bukan tanah yang luas tapi masih ada tanah terbiar yang dapat ditanam dengan aktiviti bersesuaian.
"Dalam masa yang sama Peladang akan mengenal pasti sumber-sumber kekayaan baharu yang sesuai untuk dilaksanakan mahupun diperkenalkan di negeri ini seperti nenas MD2 dan kelapa matag dan kelapa pandan yang boleh dikomersialkan," katanya selepas kunjungan hormat ke Pejabat Ketua Menteri, di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.
Tambahnya, setakat ini juga terdapat 279 pertubuhan peladang kawasan (PPK) dengan menyasarkan untuk menambahkan 10 PPK di seluruh negara.
Sementara itu, Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani, menyambut baik cadangan itu dan turut bersetuju dilaksanakan projek fetigasi dengan menggunakan teknologi Internet of Things (IoT) yang dijangka mampu memberi pendapatan lumayan.
"Walaupun mungkin kaedah fetigasi yang menggunakan teknologi menelan kos yang tinggi namun menjana pendapatan dan meningkatkan kadar ekonomi semasa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!